PM Pertimbang Cadangan Orang Ramai Untuk Bajet 2017


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata banyak cadangan yang baik disalurkan orang ramai dalam penyediaan Bajet 2017 yang akan dipertimbangkan kerajaan.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri menerusi catatan dalam laman Facebook dan akaun Twitter beliau, hari ini.

"Saya sering buka dan baca cadangan-cadangan yang anda semua berikan untuk #Bajet2017 di laman saya. Banyak cadangan yang baik, Insya-Allah akan dipertimbangkan dalam pembentukan Bajet.

"Saya yakin banyak lagi idea yang boleh disumbangkan, terus beri cadangan di bajet2017.najibrazak.com, saya ingin dengar dan teliti pandangan anda semua," katanya.

Tempoh sumbangan cadangan dalam laman web itu bermula pada 5 September lalu dan sepatutnya berakhir jam 6 petang semalam.

Bagaimanapun, ia dilanjutkan sehingga esok.

Idea yang disumbangkan setakat ini merangkumi topik seperti kos sara hidup, perkhidmatan penjagaan kesihatan, perumahan dan kehidupan bandar, pengangkutan dan infrastruktur, pembangunan ekonomi dan pendidikan.

Bajet 2017 akan dibentangkan di Parlimen, pada 21 Oktober ini.-BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA