PM Lancar Projek MRT SSP

Foto Berita Harian
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi melancarkan projek Mass Rapid Transit (MRT) bagi jajaran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (MRT SSP).

Majlis pecah tanah projek bernilai RM32 bilion itu diadakan berhampiran Stesen Putrajaya Sentral di sini. Projek itu bakal memberi manfaat kepada kira-kira dua juta penduduk apabila laluannya siap sepenuhnya menjelang tahun 2022.

Turut sama hadir, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa; Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar serta Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Seri Shahril Mokhtar.

Najib dalam ucapannya ketika melancarkan projek itu menyifatkan ia sebagai satu sejarah kepada negara dalam usaha melakukan transformasi besar-besaran kepada pengangkutan awam negara terutama di Lembah Klang.

Katanya, pelaksanaan projek seumpama itu akan menambahkan lagi kemudahan prasarana baharu kepada rakyat terutama yang tinggal di sekitar ibu negara dan kawasan sekitarnya, di samping memudah dan menambah keselesaan kepada urusan mereka setiap hari.

"Kini sudah lima tahun berlalu, projek MRT fasa pertama (jajaran MRT Sungai Buloh-Kajang) juga sudah hampir siap dan dijangka dapat memulakan operasinya pertengahan tahun depan dan saya akan hadir dalam acara perasmiannya itu nanti," katanya.

Najib berkata, projek itu akan membolehkan Kuala Lumpur dan Putrajaya dijadikan lonjakan kepada bandar bertaraf dunia dan meningkatkan tahap pasaran hartanah di kawasan ini.

"Maka kita akan wujudkan satu peluang dalam erti kata lain kita akan memerlukan 30 minit saja untuk sampai Kuala Lumpur.

"Ini semua adalah bayangan kepada kemajuan Malaysia pada masa akan datang. Apa yang diharapkan ketika ini supaya projek ini dapat disiapkan mengikut jadual, dengan kos pembinaannya juga dikawal sebaik mungkin," katanya. -BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA