Pizza Hut Indonesia Guna Bahan Tamat Tempoh, Dedah BBC


JAKARTA: Penggemar piza restoran rangkaian terkenal, Pizza Hut terkejut selepas digemparkan dengan berita ia menggunakan bahan tamat tempoh dalam penyediaan makanannya.

Bagaimanapun pelanggan yang ditemui Jakarta Post akui berita itu tidak menjejaskan mereka daripada terus membeli produk makanan di Pizza Hut dan menikmati makanan kegemaran mereka dari rangakaian tersebut.

Akhbar mingguan Tempo dan BBC baru-baru ini melapor Pizza Hut dan Pizza Hut Delivery (PHD) mengamalkan dasar syarikat untuk melanjutkan jangka hayat beberapa bahan-bahan untuk produknya, satu langkah yang jelas melanggar undang-undang makanan di Indonesia.

Turut dilapor restoran Jepun, Marugame Udon yang dikendalikan oleh syarikat sama yang memegang lesen untuk Pizza Hut mengamalkan dasar yang sama.

Siasatan mendapati Pizza Hut menggunakan 7 bahan tamat tempoh termasuk puff pastri, sosej ayam vegetarian, sos XO, campuran brownies, campuran sos carbonara, lauk manis dan limau perapan.

Manakala PHD pula berbuat demikian ke atas produk sosej ayam vegetarian, puff pastri, campuran sos carbonara dan sos sate.

Kesemua bahan ini dilanjutkan penggunaan sehingga sebulan selepas tarikh tamat tempoh.

Bagi restoran Marugame pula, ia didakwa menggunakan serbuk bonito, hondashi, kulit ayam, udang tempura, sukiyaki mentara dan sos tempura yang tamat tempoh.

Tempo dan BBC dalam siasatannya mendedahkan Marugame melanjutkan penggunaan produk tamat tempoh sehingga beberapa bulan, termasuk serbuk bonito yang digunakan selepas tamat tempoh setahun yang lalu.

Bertindak kepada laporan itu, syarikat yang mengendalikan operasi Pizza Hut dan Marugame Udon, Sarimelati Kencana dan Sriboga Marugame Indonesia masing-masing menafikan dakwaan itu sebaliknya menekankan syarikatnya hanya menggunakan “bahan makanan berkualiti tinggi”.

“Laporan media menyatakan Sarimelati Kencana, sebagai pemegang lesen Pizza Hut, PHD dan The Kitchen oleh Pizza Hut di Indonesia, menggunakan produk tamat tempoh adalah tidak tepat,” petik kata kenyataan syarikat itu.

Sarimelati Kencana diiktiraf sejak 2005 oleh francaisor global Yum! Pizza Hut sebagai jenama yang “beroperasi bertaraf dunia”.

Semalam, pengarah Presiden Sarimelati Kencana, Stephen McCarthy berkata syarikatnya tidak pernah berkompromi dengan keselamatan makanan.

“Sebagai sebuah syarikat, kami tertumpu kepada keuntungan tetapi bukan dengan merisikokan keselamatan makanan,” katanya.

Syarikat berusia 32 tahun itu kini mengendalikan 326 restoran di seluruh negara dan menggaji sekitar 13,000 pekerja, hasil daripada segmen berpendapatan sederhana yang berkembang pesat dalam ekonomi terbesar di Asia Tenggara.

Sementara itu, Sriboga Marugame Indonesia, yang mengendalikan 26 cawangan restoran Marugame Udon di bandar-bandar besar dari Medan ke Bali berkata dakwaan itu “tidak benar”.

“Kami boleh beri jaminan memohon proses perolehan yang ketat bagi semua bahan yang digunakan. Ini, selaras dengan prinsip pengurusan keselamatan makanan yang ditegakkan oleh prinsipal antarabangsa kami, Jepun Toridoll Corp.,” kata Sriboga Marugame menerusi kenyatan medianya, lapor Jakarta Post.

Kedua-dua Sarimelati Kencana dan Sriboga Marugame beroperasi di bawah kumpulan Sriboga Raturaya, yang berkembang daripada sebuah pengeluar tepung gandum kepada pemain industri bahan makanan dan pemegang francais restoran rangkaian antarabangsa. - FMT

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA