Pinjaman Rumah 35 Tahun Memadai


Bank Negara Malaysia (BNM) berkata tempoh pinjaman perumahan maksimum selama 35 tahun adalah lebih daripada mencukupi untuk peminjam menyelesaikan bayaran mereka sehingga tempoh persaraan.

Menurut BNM pada Selasa sekiranya pinjaman perumahan ditawarkan ketika usia peminjam 25 tahun, tempoh pembiayaan selama 35 tahun akan dilanjutkan ke usia persaraan 60 tahun.

"Selain itu, melanjutkan tempoh pembiayaan kepada 40 tahun akan menambah kos keseluruhan pembiayaan tanpa menambah baik kemampuan ansuran bulanan peminjam," katanya.

BNM merujuk kepada cadangan media untuk mengkaji semula garis panduan pemberian pinjaman berhubung lanjutan tempoh pembayaran balik pinjaman daripada 35 tahun kepada 40 tahun.

Katanya institusi kewangan akan terus memberi pinjaman kepada individu yang berkemampuan untuk memohon pinjaman tersebut termasuk bagi pembelian rumah pertama mereka.

Kira-kira 75 peratus peminjam (anggaran 1.5 juta peminjam) dengan pinjaman perumahan membabitkan pembeli rumah pertama.

"Akses kepada pembiayaan bukan masalah utama dihadapi bakal pembeli rumah mampu milik. Isu utama yang memerlukan jalan penyelesaian adalah kemampuan dan kekurangan rumah pada harga berpatutan," katanya. - Mstar

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA