Pinggan Terbang Ke Dahi, Wanita Di Jalan Astana Cedera Di Dahi


KUCHING: Gara-gara dituduh menjalin hubungan sulit dengan majikan, seorang wanita cedera di kepala akibat dibaling dengan pinggan dalam satu insiden di Jalan Astana di sini.

Difahamkan, kejadian berlaku sekitar jam 4 pagi Ahad lepas apabila mangsa yang berusia 23 tahun dikejutkan dari tidur oleh bekas bapa tirinya yang marah selepas dimaklum bahawa mangsa menjalinkan hubungan sulit dengan majikannya.

Mangsa bagaimanapun menafikan perkara tersebut sekali gus berlaku pertengkaran sehingga suspek bertindak membaling pinggan ke arah mangsa.

“Bekas bapa tiri mangsa memarahinya kerana melakukan dua pekerjaan dalam satu masa, selain turut menuduh mangsa menjalin hubungan intim dengan majikannya.

“Mangsa yang menafikan perkara itu mengundang kemarahan suspek yang kemudian membaling pinggan dan menyebabkan kecederaan di bahagian dahi mangsa,” kata sumber.

Suspek selepas insiden itu beredar dan mangsa yang cedera kemudian bergegas ke klinik berdekatan sebelum membuat laporan polis berhubung kejadian.

Ketua Polis Daerah ACP Abang Ahmad Abang Julai yang mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian turut memberitahu pihaknya telah menahan suspek untuk siasatan lanjut.

“Seorang lelaki berusia 49 tahun berasal dari Kampung Pulo Ulu berjaya ditahan dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA