Pesta Layang-Layang Bintulu, 28 September-2 Oktober


BINTULU: Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo Bintulu Sarawak 2016 diadakan dari 28 September hingga 2 Oktober ini mencipta satu lagi sejarah apabila dimasukkan sebagai acara utama dalam kalendar pelancongan Kementerian Pelancongan.

Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Rodziah Morshidi berkata festival berkenaan diangkat menjadi identiti tarikan utama pengunjung dalam dan luar negara bertandang ke Bintulu sekali gus menjadi acara penuh prestij di negeri ini saban tahun.

“Bagi penambahbaikan acara dianjurkan BDA selaku penganjur utama, kita turut meneruskan Kejohanan Layang-Layang Sukan Asia Pasifik ketiga pada festival kali ini dijangka menjadi antara acara paling menarik,” katanya pada sidang media di sini kelmarin.

Jelasnya, tahun ini festival layang-layang diadakan di tapak lapangan terbang lama Bintulu menyaksikan penyertaan peserta daripada 15 negeri termasuk kelab layang-layang tempatan di negeri ini dan 21 negara.

“Kategori penyertaan adalah dibuka kepada pasukan kebangsaan dalam persembahan manakala bagi kategori antarabangsa melibatkan persembahan dan pertandingan Asia Pacific Sportkite Championship,” ujarnya.

Acara menarik sebagai pengisian festival itu ialah persembahan layang-layang moden dan tradisional peringkat kebangsaan, layang-layang besar daripada peserta antarabangsa dan kebangsaan, demonstrasi dan bengkel membuat wau tradisi dan layang-layang, pertunjukan ‘Stunt Kite’ berima daripada peserta antarabangsa dan banyak acara menarik lain.

“Kami menyeru semua warga Bintulu serta penduduk luar kawasan Bintulu bersama-sama memeriahkan acara berprestij ini bagi membolehkan mereka mendalami kemeriahan sambutannya,” kata beliau.

Difahamkan festival ini bakal dirasmikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem pada 1 Oktober, jam 9.30 pagi. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA