Pesta Durian Sarawak Kembali



Musang King spesis durian yang memang menjadi pilihan kepada peminat durian tegar. Tanpa menghirau harga, penggemar sanggup mendapatkannya demi ingin menikmati kelunakkan dan kemanisan spesis durian tersebut dan kini musang king serta durian jenis lain mula membanjiri negeri Sarawak.



Hari ini Sarawak mula berpesta durian daripada pelbagai spesis yang mempunyai keenakan rasa tersendiri. Di Kuching kebanjiran durian boleh didapati disetiap tempat khususnya dipinggir jalan memandangkan peniaga lebih gemar berniaga di penggir jalan. Di Tupong, peniaga durian Indra Zuki sudah begitu lama berniaga dipinggir jalan Kampung Tupong.



Untuk mendapat durian musang king, penggemar durian boleh mengunjungi BDC kerana disitu banyak peniaga yang menjual spesis tersebut. Menyelusuri jalan menuju ke Kota Samarahan pula, terdapat peniaga yang menjual durian disetiap pinggir jalan tersebut dan harga pula masih mempamerkan harga berpatutan.

Di Kuching kebanyakkannya durian datang daripada Lundu, Bau, Serian, Pasir Pandak dan sebagainya. Durian tempatan tersebut memang cepat laku memandangkan harganya murah dan dijual mengikut tompok.



Kawasan tengah Sarawak seperti Sibu, Sarikei, dan Kanowit pula memang sudah menjadi lubok utama keluaran durian Sarawak. Harga yang begitu murah menarik pelanggan serta pelancong yang datang ke Sarawak. Ada kalanya harga durian tersebut boleh mencecah RM20 seguni jika durian sudah berlambak.

Di kawasan utara seperti Bintulu dan Miri memang diketahui harga durian tetap mahal kerana ia dijual secara timbang. Harga durian boleh mencecah ratusan ringgit untuk sebiji durian dan tumpuan utama peniaga ialah pembeli dari Negera Brunei.

Yang pasti kini Sarawak sudah kembali dibanjiri durian setelah semusim berlalu. Lambakan durian sudah mula membanjiri setiap kawasan di Sarawak dan inilah kenikmatan mendiami kawasan hutan hujan tropika serta faedah daripada kestabilan negara.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA