Pesara Guru Wanita Maut Ditikam Jiran



KOTA KINABALU: Seorang pesara guru wanita berusia 64 tahun ditemui mati akibat ditikam oleh jirannya, selepas berlaku pertengkaran dalam permainan soal jawab, di Kepayan Ridge, di sini petang tadi.

Dalam kejadian 4.15 petang itu, Ngui Lim Kiau, yang tinggal bersendirian, dipercayai memanggil suspek berusia 65 tahun yang juga seorang wanita ke rumahnya untuk bermain permainan soal jawab seperti kebiasaan.

Bagaimanapun, ketika permainan berlangsung, difahamkan berlaku sedikit pertengkaran disebabkan suspek tidak berpuas hati kerana berasa dirinya disindir oleh mangsa.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata siasatan awal mendapati berlaku sedikit pertengkaran dalam permainan itu.

"Akibat pertengkaran itu, suspek dikatakan terus menikam belakang mangsa menggunakan pisau berukuran 22 sentimeter milik suspek.

"Siasatan lanjut mendapati, suspek membawa pisau kerana hendak mengambil daun pisang di belakang rumahnya sebelum dipanggil mangsa untuk datang ke rumah," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Chandra berkata, suspek juga didapati mempunyai rekod masalah mental sejak 20 tahun lalu.

"Suspek sudah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan kerana cedera selepas menggelar pergelangan tangan kiri dan cuba menikam dirinya. Kita akan menyiasat suspek selepas dia menerima rawatan," katanya.=BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA