Pertimbang Kelulusan Pinjaman Lebih Mudah Pembeli Rumah Pertama


KUALA LUMPUR : Mah Sing Group Bhd. memohon kerajaan mempertimbangkan beberapa inisiatif termasuk melonggarkan syarat kelulusan pinjaman dalam Bajet 2017 untuk pembeli rumah pertama.

Pengarah Urusan Mah Sing Group, Tan Sri Leong Hoy Kum juga menggesa bank untuk berbuat demikian dan menyediakan sehingga 95 peratus pembiayaan rumah pertama, 90 peratus bagi kediaman kedua dan 70 peratus pembiayaan rumah ketiga.

"Ini turut temasuk nisbah perkhidmatan hutang lebih tinggi sebanyak 70 hingga 80 peratus bagi pembeli rumah pertama dan tempoh pinjaman dilanjutkan dari 35 tahun kepada 40 tahun untuk mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pemaju hartanah itu juga mahu kerajaan mempertimbangkan supaya peruntukan peratusan bagi akaun dua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dinaikkan daripada 30 peratus ketika ini kepada 40 peratus.

Selain menggesa bayaran premium, pertukaran syarat tanah diturunkan dan pelepasan tanah kerajaan untuk usaha sama dengan pemaju swasta, Leong juga mahu syarikat utiliti mengurangkan caj sambungan.

Memandangkan industri hartanah mempunyai kesan pengganda yang lebih besar berbanding industri lain maka rangsangan ke atasnya akan membawa manfaat kepada ekonomi yang lebih luas.
"Kami menyambut baik usaha berterusan kerajaan untuk menggalakkan pemilikan rumah, terutama bagi pembeli rumah pertama.

"Mah Sing juga menyedari kebimbangan kerajaan mengenai kemampuan pemilikan hartanah," katanya. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA