Persuruhjaya Sukan Akan Buat Keputusan


SHAH ALAM: Isu tunding menunding Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) dan Persatuan Automobil Malaysia (AAM) berhubung tragedi dua beranak maut dirempuh go-kart, Ahad lalu akan diputuskan oleh Persuruhjaya Sukan.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata ini kerana sukan permotoran adalah di bawah bidang kuasa Persuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman dan kementerian tidak terbabit dalam penganjuran Perlumbaan Inovasi Pendidikan Sukan Motor dan Automotig (EIMARace) 2016 di Kuantan itu.

"Penganjurnya ialah Universiti Teknologi Mara (UTM) dan mendapat kerjasama sepenuhnya Kememnterian Pengajian Tinggi. Apa yang Kementerian Belia dan Sukan boleh buat ialah hantar wakil dalam jawatankuasa khas yang ditubuhkan.

"Apabila keputusan akhir sudah dicapai, Persuruhjaya Sukan akan putuskan tindakan selanjutnya, termasuk dalam isu membabitkan MAM dan AAM," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Model Baharu Proton Saga, semalam.

Jawatankuasa siasat
Kementerian Pendidikan Tinggi menubuhkan Jawatankuasa Khas untuk menyiasat tragedi dua beranak maut ketika menonton EIMARace 2016 di Kuantan, Ahad lalu.

Ketua Setiausahanya, Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur, dilaporkan berkata jawatankuasa dianggotai pegawai kementerian dan wakil penganjur akan membuat siasatan terperinci punca kejadian di Litar Terbuka Jalan Kompleks SUKPA, Indera Mahkota di sini, terutama berkaitan aspek keselamatan.

UTM selaku penganjurnya mendakwa sudah memperoleh sijil kelulusan keselamatan daripada MAM manakala MAM pula menuduh UTM tidak mematuhi garis panduan keselamatan ditetapkan.

Keadaan bertambah kusut apabila AAM, badan induk sukan bermotor negara pula mendakwa MAM tiada kuasa untuk memberi kelulusan aspek keselamatan perlumbaan permotoran di negara ini. - BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA