Perkhidmatan UBER Di Sarawak Perlu Berdaftar Dengan LPKP


Perkhidmatan Uber di Sarawak perlu memfailkan pendaftaran dengan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) sebelum memulakan operasi pengangkutan awam di negeri ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nancy Shukri menegaskan, Uber yang dikatakan mula beroperasi di Sarawak pada 14 September ini masih belum mempunyai permit.

“Uber masih belum sah sehinggalah ia didaftarkan dengan LPKP Sarawak.

“Pengusaha Uber mesti mempunyai permit untuk beroperasi,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis korban anjuran Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVTBM) Sarawak di Taman Serira, di sini semalam.

Bagaimanapun, setelah itu katanya, pengusaha Uber perlu patuh dengan setiap arahan dan syarat yang ditetapkan oleh LPKP yang memerlukan perkhidmatan itu didaftar sebagai teksi.

Kegagalan berbuat demikian jelasnya, membolehkan LPKP mengambil tindakan undang-undang mengikut Seksyen 51 Akta LPKP.

“LPKP boleh ambil tindakan kerana beroperasi secara tidak sah, kenderaan boleh disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Nancy berkata tiada pendaftaran Uber diterima LPKP setakat ini yang hanya mengeluarkan permit untuk membawa penumpang.

“Kenderaan lain yang tidak berdaftar dengan LPKP dianggap beroperasi secara haram,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berkongsi pelan transformasi teksi yang telah diluluskan di kabinet baru-baru ini kepada persatuan teksi di Sabah dan Sarawak.

Katanya pelan itu mampu menarik minat pengusaha teksi terutama mereka yang bergerak secara individu.

“Setakat ini, pelan tersebut belum lagi diperkenalkan kepada Sabah dan Sarawak, oleh itu saya mencadangkan agar SPAD dapat melakukan perkara itu di sini (Sarawak),” katanya.

Pengusaha teksi katanya, mampu memperoleh beberapa manfaat daripada pelan transformasi itu jika ia berjaya dilaksanakan. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA