Perjuangan Emas Rio Masih Belum Berakhir - Najib


KUALA LUMPUR - Perjuangan menjulang nama negara dan mengecap kilauan emas di pentas Olimpik Rio, Brazil masih belum berakhir dan akan disambung oleh 21 atlet Paralimpik.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata mereka akan membawa nama negara bermula Rabu ini dalam acara olahraga, ping pong, pelayaran, powerlifting, berbasikal, renang, memanah dan tenis kerusi roda.

"Mari semua rakyat Malaysia kita berikan sokongan tidak berbelah-bahagi kepada atlet-atlet luar biasa kita yang akan mengerah tenaga dengan impian untuk mendengar Negaraku berkumandang di bumi Rio di bawah kibaran Jalur Gemilang." katanya dalam catatan terbaharu di laman blog www.najibrazak.com hari ini.

Perdana menteri menulis blognya itu dalam perjalanan dari Malaysia ke Laos untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-28 dan 29 di Vientiane.

"Kepada para atlet Paralimpik negara, saya yakin dan percaya, kesemua anda akan berusaha sehabis baik untuk menjulang nama negara," katanya.

Beliau mengingatkan atlet Paralimpik bahawa walaupun mereka berada di bumi Rio yang beribu-ribu kilometer jauhnya dari Malaysia, sokongan rakyat Malaysia tetap akan bersama setiap titik keringat yang mereka titiskan untuk negara.

"Ada pingat atau tanpa pingat, kesemua anda adalah kebanggaan negara sebelum bertolak pergi, dan anda semua akan pulang sebagai wira dan wirawati, itu pasti," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA