Penyeragaman Sepenuhnya Plat Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Masa Tiga Tahun – JPJ


Isu nombor pendaftaran yang tidak seragam dan dibuat sewenang-wenangnya tidak mengikut spesifikasi oleh pemilik-pemilik kenderaan bakal berakhir tidak lama lagi. Dalam satu bengkel khas yang diadakan bersama pihak berkepentingan untuk mendapatkan maklumat dan cadangan semalam, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mensasarkan penyelesaian masalah ini akan dikeluarkan pada suku ketiga tahun 2017.
Jika langkah tersebut diluluskan, polisi nombor pendaftaran baharu akan dikuatkuasakan untuk semua kenderaan baharu termasuk motosikal dan diikuti kenderaan lain secara berperingkat dalam masa tiga tahun.
Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi, bengkel satu hari bertajuk “Penyeragaman Plat Nombor Pendaftran Kenderaan” berkenaan adalah untuk membincangkan kelemahan dalam pengeluaran plat nombor pendaftaran di seluruh negara yang menyebabkan penggunaan plat dengan spesifikasi yang tidak dibenarkan.
“Kami juga turut mencari jalan bagaimana untuk menyeragamkan plat nombor dan mengeluarkan plat yang standard di seluruh negara,” kata beliau kepada portal berita berkenaan.
Tambah beliau lagi, mekanisma baharu tersebut perlu membolehkan pihak berkuasa memantau peniaga kecil atau vendor-vendor di seluruh negara untuk mengeluarkan plat nombor pendaftaran yang berpandukan Undang-undang Kenderaaan Bermotor (Pendaftaran dan Perlesenan) 1959.
“Kami mahu peniaga untuk berdaftar dengan JPJ dan daripada situ, kami, bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, boleh mengambil tindakan jika perlu,” kata beliau dalam ucapan pembukaan bengkel tersebut semalam.


Selain itu, beliau juga mahu kesemua 50 peserta bengkel berkenaan yang terdiri agensi kerajaan berkaitan dan industri automotif, mempertimbangkan pengguna material yang tahan lasak dan kuat seperti logam tekan (metal stamping) dan kos mekanisma untuk pengeluaran plat baharu ini juga perlulah efektif. “Material sedia ada, seperti plastik, tidak tahan lama dan boleh ditukar dan dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” kata beliau.
Aziz menjelaskan penyeragaman plat berkenaan adalah penting dalam memerangi jenayah dan menguatkuasakan keselamatan jalan raya serta kerajaan agak fleksibel dalam menangani isu ini.
“Selama ini, pihak berkuasa dan orang ramai terpaksa berhadapan dengan kesukaran untuk mengenalpasti plat nombor yang terlalu fancy atau tidak jelas.
“Kami mahu mencari jalan penyelesaian yang tidak melibatkan kos yang tinggi dan membebankan rakyat. Kami juga mahu memastikan tiada monopoli untuk tujuan ini,” kata beliau.
Dalam bengkel yang diadakn semalam, sebuah syarikat telah membentangkan cadangan untuk rekaan plat nombor pendaftaran baharu dan juga material yang digunakan selama 45 minit serta sistem pendaftaran dinamik yang dapat mengelakkan penyalahgunaan oleh vendor dan pemilik kenderaan.
Bengkel serupa telah dijalankan oleh kementerian berkenaan dua tahun lalu untuk menyelesaikan isu cermin gelap. Hasilnya tahap ketelusan cahaya (VLT) untuk bahagian penumpang belakang kini dikurangkan kepada 30% berbanding 50% sebelum ini dan undang-undang lebih ketat digazetkan pada Januari lalu di bawah Undang-undang Kenderaan Bermotor (Larangan Penggunaan Terhadap Berberapa Jenis Cermin) (Pindaan) 2016.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA