Penglibatan Dalam Politik Tidak Halang Juanda Terus Berdakwah


KUCHING: Bekas Mufti Perlis Datuk Dr Juanda Jaya menyifatkan penglibatannya dalam politik bukan penghalang untuk terus berdakwah dan menggembangkan syiar Islam di negara ini.

Menurutnya, penglibatan dalam politik tidak sepatutnya membimbangkan sesiapa kerana pada masa sama berdakwah tetap dijalankan.

"Saya hanya pendakwah dan kekal sebagai pendakwah selamanya, In Sha Allah.

"Tiada apa yang perlu dibimbangkan," katanya menerusi aplikasi Whatsapp.

"Kita akan terus menjuarai perjuangan untuk memastikan pandangan Islam yang sederhana dan adil kepada semua pihak. Isu pandangan kolot dan bersifat sektarian hendaklah dielakkan bagi memastikan keharmonian hidup beragama dalam sebuah negara yang majmuk ini dapat dipertahankan"

"Sikap dan pandangan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang sederhana telah menarik perhatian saya untuk membantu beliau bagi memastikan pengamalan Islam dalam negara ini menepati kehendak Allah dan al-Quran itu sendiri.

"Sudah pasti banyak pihak punya pelbagai pandangan. Itu kita mesti raikan bagi memastikan golongan ekstrimis dapat dibendung. Akhirnya nanti pandangan yang sederhana mesti menjadi juara dan arus perdana negara"

"Saya terharu mendengar pandangan Siti Kasim dan berharap beliau terus mengkaji tentang agama Islam. Itu tugas setiap orang Muslim," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng menerusi aplikasi Whatsapp.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Siti Kasim mengenai penyertaan Datuk Dr Juanda Jaya dalam politik mengecewakan beliau kerana bekas mufti itu pernah memberinya gambaran positif tentang Islam.

Peguam itu berkata, Juanda antara ulama yang berjaya mengubah pandangannya terhadap agama dan membuatnya lebih berminat mendalami al-Quran.

"Saya jumpa Juanda di sebuah forum selepas saya pulang ke Malaysia. Saya dapati beliau berjaya mengungkapkan keindahan Islam dengan cukup baik sekali.

"Ia menjadi permulaan kepada saya untuk membaca, memahami dan mengkaji Quran.

"Beliau kata pada saya,'Islam sebenarnya sangat mudah;ia mengenai perkara-perkara yang munasabah. Benda salah tetap salah.'

"Saya tanya betul ke doktor? Dia kata 'ya, Islam tidak begitu sukar kerana Tuhan beri akal untuk kita memahaminya," kata Siti,53, dalam satu wawancara baru-baru ini.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA