Pengguguran Tuntutan Mahkamah AS Secara Senyap


Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak mendakwa tuntutan mahkamah tindakan kelas yang difailkan di Amerika Syarikat terhadap 1MDB dan lain-lain oleh setiausaha politik Tun Mahathir Mohamad, Matthias Chang dan Husam Musa yang menimbulkan kontroversi global telah digugurkan secara senyap.

Namun menurut beliau apa yang lebih memeranjatkan Wall Street Journal dan media Barat yang lain tidak melaporkan bahawa semalam, saman itu telah digugurkan.

Tuntutan mahkamah yang difailkan pada 11 Ogos lalu oleh pengikut Tun Mahathir semata-mata berdasarkan dakwaan dalam aduan awam Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, dan coretan palsu yang disiarkan oleh Wall Street Journal.

"Realitinya adalah bahawa ia sejak awal lagi adalah tidak berasas, satu aksi publisiti semata-mata untuk memanipulasi persepsi orang ramai,"

"Sebahagian daripada rancangan Tun Mahathir untuk mensabotaj 1MDB dan merosakkan ekonomi Malaysia untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi,"

"Dan semua ini adalah atas sebab-sebab politik untuk kepentingan diri sendiri, hanya untuk memberi manfaat kepada anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Salleh dalam kenyataannya turut menggambarkan kekecewaan Tun Mahathir dan mereka yang terlibat bahawa percubaan untuk menggulingkan kerajaan demokrasi Malaysia telah gagal.

"Mereka akan terus gagal. Salah satu tanda seorang pemimpin yang sebenar adalah mengetahui masa untuk berundur secara senyap,"

Sementara itu, Salleh berkata rekod sebenar Perdana Menteri telah dicatitkan oleh Ketua Pengarah UNESCO Irina Bokova.

Irina Bokova berkata, "Di bawah kepimpinan Perdana Menteri Najib Abdul Razak, kerajaan Malaysia telah mengambil pendirian tegas terhadap keganasan ekstremisme melalui penglibatan dan pendidikan, yang mana UNESCO menganggap sebagai pencegahan jangka panjang yang paling berkesan ke atas kuasa yang mengancam untuk memecah-belahkan masyarakat".

Tambah Salleh, Irina turut memuji Malaysia sebagai "Satu contoh kepada negara-negara di semua peringkat pendapatan"; dan juga berkata bahawa negara ini adalah "Bukti bahawa menghormati kepelbagaian merupakan satu sumber pengayaan"; dan bahawa kita telah mengetuai usaha menggalakkan "Ajaran agama untuk menggalakkan toleransi, hormat-menghormati dan saling memahami".

Dalam kenyataannya lagi, Saleeh menegaskan kerajaan tidak akan terganggu dengan percubaan Tun Mahathir yang semakin terdesak.

"Perdana Menteri akan terus berkhidmat kepada rakyat dan mengutamakan sekuriti, keselamatan dan kemakmuran mereka," - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA