Pendidikan Seks Untuk Pelajar Lelaki Bulan Depan



PUTRAJAYA : Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan memperkenalkan modul pendidikan seks kepada remaja lelaki berusia 16 tahun ke atas bermula bulan depan.

Ketua setiausahanya, Dr Rose Lena Lazemi berkata modul yang akan dimulakan di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Sabah itu akan dimasukkan dalam program kaunseling sekolah.

“Antara kandungan modul yang akan diberi penekanan termasuk isu seks sebelum berkahwin, variasi seks, kehamilan remaja, penderaan seksual dan penyakit kelamin termasuk HIV atau AIDS.

“Modul ini untuk menangani isu seksual, kesihatan reproduktif dan sosial dalam kalangan remaja lelaki sekaligus mengelakkan kelakuan songsang dalam kalangan remaja,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.


Laporan media tidak menyatakan samada remaja perempuan akan terlibat sama.

Sementara itu, Rose Lena berkata sebanyak 3,980 daripada 13,831 remaja berusia 10 hingga 19 tahun mengandung anak luar nikah pada tahun lalu.

Katanya, lima negeri mencatatkan kes kehamilan remaja ter­tinggi iaitu Sabah de­ngan 3,084 kes diikuti Sarawak (2,910), Selangor (1,461), Johor (1,319) dan Pahang 940 kes.

“Laporan polis juga menunjukkan jumlah pembuangan bayi di negara ini adalah 432 kes sejak 2011 hingga Jun 2015 dengan kejadian kehamilan luar nikah me­rupakan punca utama kes tersebut berlaku,” katanya.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA