Pendakwah Malaysia Meninggal Dunia Di China


KUALA LUMPUR: Seorang pakar ilmu fekah, Ustaz Mohd Fadzli Al Yamani meninggal dunia tidak lama selepas mendarat di Lapangan Terbang Guangzhou di China, tengah malam tadi.

Allahyarham yang juga tetamu jemputan rancangan Tahsin Ibadah di Radio IKIM bersama 28 pendakwah lain ke Guangzhou untuk mengambil lima kanak-kanak Cina Muslim untuk ditempatkan di Madrasah Al Yamani di Kampung Baru, di sini.

Anaknya, Muhammad Abdurrahman, berkata bapanya disahkan menghembuskan nafas terakhir pada jam 12.30 tengah malam tadi waktu tempatan.

"Arwah rebah di lapangan terbang semasa menunggu bas untuk ke hotel. Tiba-tiba sahaja arwah jatuh dan mengalami sawan sebelum ambulans tiba 10 minit kemudian dan pegawai perubatan mengesahkan kematiannya.

"Arwah tiada sejarah sakit jantung dan doktor mengesahkan ia kematian mengejut," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Muhammad Abdurrahman berkata, keluarganya masih berbincang dengan Kedutaan Malaysia di China serta Persatuan Penduduk Muslim di Guangzhou mengenai urusan pengebumian Allahyarham.

"Kami akan mengumpul pelajar Malaysia beragama Islam di Guangzhou untuk membantu menguruskan jenazah. Pada masa sama, beberapa masjid di Malaysia juga akan mengadakan solat jenazah ghaib selepas Maghrib nanti," katanya.- BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA