Pembentukan Malaysia: Ancaman Luar Dorong Sarawak Setuju


BINTULU : Ancaman komunis yang begitu berleluasa antara sebab Sarawak bersetuju dalam pembentukan Malaysia bersama Tanah Melayu, Sabah dan Singapura.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, pada ketika itu Sarawak tidak mempunyai ketenteraan yang mencukupi bagi menentang komunis.

"Pada waktu itu Sarawak hanya mempunyai anggota polis yang tidak mempunyai kelengkapan seperti tentera.

"Konfrantasi Ganyang Malaysia oleh Sukarno menekan Sarawak dan begitu juga pihak komunis yang diketuai Chin Peng," katanya ketika Sambutan Hari Malaysia di Bintulu malam tadi.

Adenan memperjelaskan bahawa Rejimen Askar Melayu dari Malaya telah membantu Sarawak menentang tekanan daripada komunis dan Indonesia ketika itu.

"Tiada siapa membantu melainkan mereka dari Malaya telah membantu melalui ketenteraan.

"Mereka telah berjuang dan sanggup berkorban untuk keselamatan Sarawak dan selamatkan Sarawak daripada penentangan komunis dan konfrantasi Indonesia," ujarnya.

Adenan turut mengingati rakyat Sarawak, ia adalah sejarah sebenar yang perlu dijadikan panduan pada hari ini dan mengapa Sarawak bersetuju menubuh Malaysia.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Perdana Menteri Datuk Patinggi Najib Tun Razak, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Pairin Kitingan dan menteri-menteri persekutuan dan Sarawak.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA