Pembangunan Ekonomi Luar Bandar Terus Dipertingkat


KUCHING: Pembangunan ekonomi luar bandar akan terus dipertingkatkan bagi memastikan jurang perbezaan pendapatan luar bandar dan bandar dapat dikurangkan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata kerajaan negeri sentiasa berusaha mencari jalan penyelesaian untuk mengurangkan kadar kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan isi rumah.

Menurutnya, petunjuk jurang perbezaan dalam status sosioekonomi isi rumah bandar dan luar bandar adalah kadar kemiskinan.

“Kadar kemiskinan di bandar adalah 0.5 peratus manakala 1.6 peratus di kawasan luar bandar iaitu tiga kali ganda daripada kadar kemiskinan di bandar.

“Ini menunjukkan jurang pendapatan dan kemiskinan di luar bandar lebih besar berbanding kawasan bandar,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri perasmian Bengkel Program Transformasi Ekonomi Luar Bandar Sarawak di sebuah hotel di sini, semalam.

Mengulas lanjut, katanya banyak perkara perlu dilakukan untuk meningkatkan pembangunan ekonomi di kawasan luar bandar.

Uggah berkata ia sekali gus membantu mengurangkan kadar kemiskinan bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Sehubungan itu, beliau menekankan usaha mengenal pasti beberapa model pelan pembangunan sosioekonomi luar bandar yang komprehensif untuk dilaksanakan di Sarawak.

“Perkara ini membuatkan kita merujuk kepada beberapa contoh pembangunan termasuk meneliti semula model sedia ada yang berjaya, akan diteruskan.

“Namun model yang lama (kurang berkesan) akan digantikan dengan model baharu yang digunakan di negara-negara lain, oleh itu kita akan mempunyai program transformasi ekonomi luar bandar yang komprehensif,” katanya yang juga Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar.

Menjelaskan perkara itu, Uggah berkata ia selaras dengan objektif untuk mencapai sasaran isi rumah berpendapatan tinggi dan mengurangkan defisit kemiskinan antara bandar dan luar bandar.

Terdahulu pada perasmian, program itu dihadiri lebih 100 peserta yang terdiri daripada pemain industri daripada pelbagai sektor awam dan swasta.

Beliau yakin para peserta dalam bengkel itu dapat berkongsi pendapat dan idea untuk membangunkan program transformasi ekonomi luar bandar.

Hadir sama Menteri Muda Ekonomi Luar Bandar (Kawasan Pedalaman) dan Perladangan Datuk Francis Harden Hollis, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Gerawat Gala, Setiausaha Tetap Kementerian Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar Datu Dr Ngenang Jangu dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pembangunan Sarawak (SDI) Datu Aloysius J. Dris. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA