Pelan Transformasi Bola Ssepak Disokong


KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem menyambut baik pelan transformasi bola sepak negeri yang dicadangkan oleh Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS).

Sehubungan itu, beliau menyatakan kesediaannya untuk membantu FAS melaksanakan program pembangunan secara holistik dengan memberi penekanan terhadap pembangunan di peringkat akar umbi.

Perkara itu dijelaskan oleh Pemangku Presiden FAS Abdul Wahab Rahim selepas beliau mengetuai delegasi Exco baharu FAS mengadakan kunjungan hormat ke atas Adenan di Bangunan Wisma Bapa Malaysia semalam.

Menurut Abdul Rahim, antara pelan jangka masa panjang yang digariskan oleh FAS termasuk pembangunan bola sepak skuad senior, remaja dan wanita.

“Kunjungan hormat ini bertujuan memperkenalkan Exco baharu FAS kepada Ketua Menteri sambil mendapatkan nasihat mengenai beberapa cadangan untuk membangunkan bola sepak Sarawak secara menyeluruh.

“Alhamdullillah, Ketua Menteri menyokong baik cadangan FAS serta bersedia membantu persatuan untuk memastikan masa depan bola sepak di Sarawak terus berkembang,” katanya semalam.

Tegasnya, proses untuk menaikkan semula bola sepak negeri memerlukan tempoh lama dan persatuan tidak memikirkan hasil yang mendadak dalam masa singkat.

Ia turut disokong oleh Adenan sendiri sambil menegaskan apa yang penting dilakukan oleh FAS ketika ini ialah melaksanakan pembangunan di peringkat akar umbi yang berkesan secara berterusan.

Menyentuh perkara tersebut, Timbalan Presiden FAS yang baharu itu turut mendedahkan FAS akan berkolaboratif dengan beberapa kelab bola sepak tempatan termasuk dari luar negara dalam usaha meningkatkan mutu bola sepak negeri.

“Kolaboratif yang akan dilaksanakan itu merupakan salah satu inisiatif FAS dalam melahirkan bakat-bakat baharu yang berpotensi untuk meneruskan kesinambungan bola sepak Sarawak pada masa hadapan,” jelasnya lagi.

Pada pertemuan itu juga, FAS turut membincangkan kaedah-kaedah untuk menyelesaikan masalah penonton di stadium.

Hadir sama empat Naib Presiden FAS iaitu Razali Dolhan, Datuk Posa Majais, Abang Suhardi Abang Zaini dan Duke Janteng. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA