Pelajar Wanita Langgar Peragut


KUALA LUMPUR – Seorang pelajar wanita Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang bertindak nekad mengejar dan melanggar motosikal peragut yang meragut beg tangannya Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Megat Mohd. Aminuddin Megat Alias berkata pelajar berusia 21 tahun itu yang menaiki motosikal bersama rakannya mengejar motosikal yang dinaiki dua peragut sejauh kira-kira dua kilometer bermula di hadapan pintu masuk utama UPM.

“Oleh kerana terlalu geram dengan tindakan penjenayah itu, penuntut universiti itu bertindak melanggar motosikal yang dinaiki dua lelaki berkenaan dari arah belakang sebelum kesemua mereka terjatuh di kawasan berhampiran Flat Ikan, Sri Serdang.

“Dua pelajar itu kemudiannya menjerit meminta pertolongan dan dua lelaki berkenaan berjaya diberkas anggota polis yang kebetulan melakukan rondaan di kawasan tersebut,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata kedua-dua peragut berkenaan cedera dengan seorang daripadanya patah kaki manakala penuntut itu cedera pada kaki dan rakannya cedera pada muka.

Kesemua mereka dihantar ke Hospital Serdang dan dimasukkan ke wad. Megat Mohd. Aminuddin berkata dua peragut masing-masing berusia 25 dan 27 tahun itu didapati mempunyai kes jenayah lampau berkaitan dadah.

Beliau berkata motosikal yang digunakan suspek telah dicuri di sekitar Serdang sebelum ini. Kedua-dua suspek sedang direman. -MYNEWSHUB.CC

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA