Pelajar Perubatan Malaysia Ke Syria Sertai IS


MELAKA: Dua pelajar menyelinap keluar dari negara ini untuk menyertai kumpulan militan IS dengan salah seorang daripadanya adalah pelajar wanita bidang perubatan yang kini berada di Syria.

Seorang lagi suspek iaitu pelajar lelaki berjaya dikesan dan dihantar pulang serta kini dalam tahanan polis.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kedua-dua pelajar itu yang berusia dalam lingkungan 20-an didapati berada di negara Timur Tengah itu meskipun kawalan ketat di pintu keluar negara.

Jelas Ayob, pasukannya berjaya mengesan pergerakan pelajar lelaki yang cuba memasuki Syria menggunakan penerbangan melalui Istanbul, Turki.

"Kami bekerjasama dengan pihak berkuasa Turki untuk proses penghantaran pulang pelajar itu ke Malaysia Khamis lalu. Dia kini dalam tahanan kami," katanya selepas menghadiri satu majlis di Dewan Seri Bendahara di sini Isnin.

Ayob berkata pelajar wanita itu bagaimanapun berjaya memasuki Syria dan dilaporkan menyertai kumpulan militan IS.

Katanya, dua pelajar itu antara tiga rakyat Malaysia yang dipercayai telah pergi ke Syria antara Januari dan Ogos tahun ini.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA