Pelajar Perlu Rebut Peluang Aktif Sertai Persatuan Di IPT


KOTA SAMARAHAN: Pelajar institusi pengajian tinggi di negeri ini digesa mengambil peluang semasa di pusat pengajian masing-masing dengan menyertai persatuan dalam sukan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) giat memperkasa pembangunan sosial belia.

Menteri Muda Pembangunan Belia Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kecemerlangan akademik semata-mata bukan tiket mendapat kerjaya impian.

“Harus diingat dalam dunia pekerjaan semakin mencabar, mahasiswa dan mahasiswi juga perlu mahir dalam kemahiran sosial, komunikasi juga kepimpinan.

“Saya yakin kemahiran tersebut dapat dibentuk dalam setiap mahasiswa dan mahasiswi dengan penglibatan dalam sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kayuhan Legenda 60 Tahun Peringkat Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak di kampus Samarahan 1 di sini semalam.

Beliau berkata kerajaan juga telah memperuntuk begitu banyak dana bagi memperkasa dan mempergiatkan lagi aktiviti khas untuk belia.

Mengenai program Kayuhan Lagenda 60 Tahun UiTM, Abdul Karim yakin universiti awam itu  dapat melahirkan lebih ramai jaguh sukan Malaysia seperti Pandelela Rinong , Datuk Lee Chong Wei dan ramai lagi.

“Saya amat kagum dengan semangat membara yang dapat kita lihat dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi mengikuti Kayuhan Legenda 60 hari(semalam).

“Sesungguhnya kalian amat bertuah kerana berpeluang terlibat sama dalam acara bersejarah ini,” katanya.

Sementara itu Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UITM Sarawak, Profesor Wan Akil Tuanku Abdullah berkata Kayuhan Legenda 60 Tahun di seluruh kampus UITM di seluruh negara.

“Bagi acara Kayuhan Legenda 60 Peringkat UiTM Sarawak bermula dari Lawas pada 19 September lalu dan di situ kita menerima bendera kayuhan daripada rombongan UiTM Sabah.

“Kemudian bendera ini menuju ke Mukah pada 21 September menggunakan kapal terbang seterusnya ke Kuching juga menggunakan kapal terbang dan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching  30 pelajar kita berkayuh hingga ke kampus ini dengan jarak lebih kurang 21 km,” katanya.

Pada majlis sama Abdul Karim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya mengumumkan peruntukan RM10,000 untuk Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Sarawak dan RM40,000 untuk UiTM Sarawak untuk menganjurkan aktiviti-aktiviti sosial pelajar serta staf.

Hadir sama Timbalan Rektor Kampus Samarahan II Profesor Madya Firdaus Abdullah dan Ketua Unit Sukan UiTM cawangan Sarawak Adzwa Karim. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA