Pejabat Mufti WP Jelas Isu Gugur Bayi Positif Zika


KUALA LUMPUR – Wanita beragama Islam boleh menggugurkan kandungan jika disahkan positif virus Zika, demikian penjelasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Walau bagaimanapun, kandungan tersebut perlu berusia kurang daripada empat bulan kerana anak yang dikandung bakal mengalami kecacatan selain kesan kesihatan kepada wanita hamil.

Kenyataan itu memetik fatwa yang dikeluarkan oleh Dar al-Ifta’ al-Misriyyah pada 14 Mac yang lalu.

“Dibolehkan bagi janin yang belum mencapai 120 hari (4 bulan) setelah disahkan implikasinya kepada wanita berkenaan atau kecacatan kepada janin berkenaan.

“Manakala, bagi yang sudah mencapai 120 hari, ia tidak dibolehkan kecuali jika kehamilan itu berterusan mengundang masalah kepada kesihatan dan bahaya kepada kehidupan wanita berkenaan,” kata pejabat itu dalam kenyataannya.

Ia sebagai mengulas pandangan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam semalam yang mencadangkan semua mufti di Malaysia duduk berbincang mengenai hukum pengguguran bayi melibatkan ibu yang dijangkiti Zika.

Kenyataan itu turut merujuk kenyataan yang dikeluarkan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menyatakan wanita hamil dijangkiti virus zika boleh menggugurkan janinnya yang belum mencapai usia 120 hari

Pejabat mufti tersebut memberi penjelasan berkenaan terhadap ketetapan tersebut berlandaskan qiyas kepada persamaan dengan kes thalassemia menerusi pendapat Majma’ Fiqh Islami.

“Boleh digugurkan janin jika kekal hidup akan membawa kesusahan, kesedihan dan penderitaan terhadap keluarga dan ahlinya. Ketika itu, harus menggugurkan janin mengikut kehendak kedua ibu bapanya.

“Jika didapati janin tersebut mengalami bahaya yang tidak mungkin boleh dirawat, anak itu lahir dengan penyakit yang kekal, memberi kesan bermasalah dalam kehidupannya serta membebankan keluarganya, maka ketika itu boleh digugurkan mengikut kehendak ibu bapa.

“Kami lebih cenderung kepada pendapat Majma’ Fiqh Islami berkenaan penyakit thalassemia yang boleh diqiyaskan bagi isu virus Zika ini, jika sekiranya dapatan kajian dari pakar perubatan yang diyakini menunjukkan bahawa janin yang dijangkiti virus Zika boleh mengundang pelbagai bentuk kecacatan sehingga memudaratkan kehidupan keluarga serta bayi itu sendiri.

“Dalam keadaan seperti itu, persetujuan daripada kedua ibu bapa yang diberi kefahaman yang jelas bolehlah diambil kira untuk pelaksanaan pengguguran janin itu,” katanya lagi.

Penyakit Zika dikenal pasti di Uganda, sebuah negara di benua Afrika pada 1947 lalu yang dibawa melalui nyamuk Aedes. Ia adalah nyamuk yang sama yang menyebarkan denggi dan chikungunya.

Virus Zika yang merebak akan menyebabkan sejenis kecacatan otak dan boleh menyerang bayi dalam kandungan.

Virus ini juga boleh tersebar menerusi jangkitan kuman kepada janin dan peringkat janin yang paling berisiko dijangkiti virus tersebut adalah dalam tempoh kehamilan tiga bulan pertama.

Malaysia mencatatkan kes virus Zika pertama apabila seorang wanita dari Klang, Selangor disahkan positif dijangkiti virus tersebut selepas pulang dari melawat saudaranya di Singapura pada 21 Ogos yang lalu.

Kemudian dilaporkan jangkitan virus Zika tempatan yang pertama di Malaysia tiga hari yang lalu adalah membabitkan lelaki tempatan berusia 61 tahun berasal dari Taman Public Jaya Likas, Sabah. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA