PAS Bakal Dikuasai Oleh Syiah?

Setelah kematian Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Dr Haron Din di Hospital Standford, San Francisco, California, Jumaat lalu, ramai yang ingin mengetahui, siapakah pengganti beliau yang akan dilantik sebagai Mursyidul Am PAS yang baru.

Ditambah pula pendirian PAS yang kini lebih sederhana, pastinya ramai yang ingin melihat sejauh mana pengganti Allahyarham dapat mengekalkan prinsip PAS itu.

Seperti sedia maklum, jawatan Mursyidul Am adalah jawatan tertinggi dalam hirarki kepimpinan PAS. Justeru, sesiapa sahaja yang dipilih menjadi Mursyidul Am, pastinya akan menentukan corak dan hala tuju parti berkenaan selepas ini.

Setelah pemangku Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob dilaporkan menolak namanya daripada dicalonkan untuk menjadi Mursyidul Am PAS yang baru, timbul persoalan, siapakah yang bakal menerajui PAS selepas ini.

Beberapa nama disebut-sebut sebagai calon termasuk Ketua Dewan Ulama, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, bekas Ahli Parlimen dan pemimpin PAS Kedah, Taib Azamudin dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri. Namun difahamkan Taib enggan namanya dikaitkan atas alasan kesihatan.

Antara nama yang hangat diperkatakan adalah Dr Mahfodz. Beliau bukan asing lagi dalam PAS dan telah dilihat antara pemimpin masa hadapan PAS. Namun terdapat spekulasi yang melabelkan beliau sebagai pemimpin Syiah.

Andaian itu dibuat kerana beliau dikatakan pernah menghasilkan sebuah buku “Ahl Al-Bayt Dalam Al Quran dan Al Sunnah” dengan isi kandungannya disifatkan mirip seperti apa yang diamalkan oleh golongan syiah.

Meskipun kebenaran tuduhan itu tidak diketahui namun persoalannya, adakah PAS akan mengizinkan seorang yang diragui walaupun hanya satu spekulasi, memimpin PAS selepas mengecap kegemilangan di bawah Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Allahyarham Datuk Dr Haron Din?

Di Malaysia hari ini, fahaman syiah telah ditolak oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan hampir kesemua ulama muktabar. Ini kerana, Malaysia memegang mazhab Shafie dan sebarang penyebaran dan menganut fahaman ini merupakan antara kesalahan yang boleh diambil tindakan.

Seharusnya, Majlis Syura PAS harus lebih berhati-hati dalam memilih bakal Mursyidul Am mereka yang baru. Sebarang kesilapan memilih pemimpin, memungkinkan PAS sekali lagi terpesong daripada perjuangan mereka.

Malah, lebih teruk lagi, ada kemungkinan menyaksikan, ahli PAS sendiri mungkin akan terpesong aqidahnya, sesuatu yang paling mahu dielakkan.

Tulisan:
Beruang Biru
BB55, Khamis
22 September 2016

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA