Pangkalan TLDM Akan Dibina Di Bintulu


KUCHING: Kementerian Pertahanan akan membina Pangkalan Tentera Laut Di-Raja Malaysia (TLDM) sebagai tumpuan kepada Teras Kesiapsiagaan di Sarawak.

Perbincangan dengan Kerajaan Negeri melalui Bintulu Development Authority (BDA) telah mencapai beberapa keputusan penting bagi merealisasikan pembinaan pangkalan tersebut.

Menteri Pertahanan Malaysia, Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata demikian pada majlis Ramah Mesra Bersama Warga Bintara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Dewan Sri Angkasa, Pangkalan Tentera Udara, di sini hari ini.

"Bagi perancangan jangka pendek, BDA telah bersetuju untuk mewujudkan ruang dan fasiliti untuk keperluan pentadbiran sebuah unit TLDM di Pelabuhan Bintulu.

"Unit ini berperanan mengatur gerak aset-aset yang terlibat dalam operasi di perairan Sarawak dan Laut Cina Selatan," ujarnya.

Bercakap mengenai perancangan jangka panjang beliau menjelaskan, lokasi yang strategik telah dikenalpasti untuk dijadikan Pangkalan TLDM di Bintulu namun keputusan penggunaan lokasi tersebut masih dalm peringkat perbincangan.

Tambahnya, dengan wujudnya Pangkalan TLDM di Bintulu, ia diyakini akan memberi impak yang tinggi kepada Kerajaan Sarawak amnya dan rakyat Sarawak khasnya dari aspek keyakinan dan keselamatan perairan Laut China Selatan dan negeri ini.

"Dengan kehadiran aset serta penubuhan Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) pasti akan menjamin kepentingan strategik khasnya infra pelabuhan dan perindustrian minyak dan gas," katanya. - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA