Pandelela Disambut Meriah, Insentif lebih Setengah Juta







KUCHING: Kira-kira 1000 warga Kuching menyambut ketibaan Ratu Acara Terjun Negara Pandelela Rinong di Dewan Suarah di sini hari ini.

Orang ramai membanjiri perkarangan Dewan Suarah Kuching sejak tengahari, untuk melihat lebih dekat atlet kebanggaan mereka.

Penari-penari kebudayaan dan kanak-kanak sekolah yang mengibarkan bendera Malaysia dan Sarawak turut menyerikan majlis sambutan khas anjuran kerajaan Sarawak yang dihadiri barisan pemimpin tertinggi negeri.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang mewakili Kerajaan Negeri menyampaikan insentif berjumlah RM500,000 kepada Pandelela atas kejayaan memenangi pingat perak pada Olimpik Rio 2016.

Beliau turut mengumumkan Kerajaan Negeri akan menamakan pusat Akuatik di Petra Jaya sebagai Pusat Akuatik Pandelela Rinong Sebagai mengiktiraf kejayaan atlet tersebut mengharumkan negeri dan negara di peringkat dunia.

Selain itu, Pandelela juga menerima insentif tunai RM100,000 dari syarikat Techinier Sdn Bhd, dan sebuah Kondominium bernilai RM700,000 dari Tenaga Stabil Sdn Bhd.

Pandelela memenangi pingat perak menerusi acara terjun 10 meter platform seirama wanita bergandingan dengan Cheong Jun Hoong pada Sukan Olimpik Rio 2016.

Pada Sukan Olimpik London 2012, gadis Bidayuh dari Kampung Jugan Bau itu mencipta sejarah sebagai atlet wanita pertama negara berjaya meraih pingat gangsa pada Sukan Olimpik menerusi acara 10 meter platform individu.- Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA