Pandangan Komponen BN Diselaras


KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) semalam menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyelaras perbezaan pandangan parti komponen berhubung kajian semula persempadanan bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Penubuhan jawatankuasa dianggotai semua setiausaha agung parti komponen dipengerusikan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor itu diputuskan pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN, semalam.

Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak, berkata semua parti komponen BN mempunyai pandangan berbeza terhadap cadangan awal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berikutan kesan dan implikasi yang perlu diambil kita daripada pelbagai aspek.

"Banyak perkara dibincangkan dalam mesyuarat hari ini (semalam) tetapi kita memberikan keutamaan dalam soal persempadanan baharu dipamerkan SPR.

"BN dan semua parti komponen akan menyelaras pandangan dan cadangan kita melalui sebuah jawatankuasa bagi menyelaras cadangan balas BN kepada SPR," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato Onn, di sini, semalam.

SPR mempamerkan cadangan semula persempadanan kerusi Parlimen dan DUN bagi semenanjung dan Sabah bermula 15 September lalu hingga 14 Oktober depan.

Penelitian semua kawasan
Ditanya berapa banyak kawasan Perlimen dan DUN yang terjejas, sekali gus memberi implikasi kepada kemenangan BN, Perdana Menteri berkata, penelitian bukan sahaja terhadap kerusi yang berada dalam tangan BN, malah mengambil kira semua kawasan Parlimen dan DUN.

Mengulas sama ada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dilaksanakan sebelum atau selepas keputusan persempadanan semuala dibuat, Najib berkata, ia bergantung tempoh masa SPR selesai mengkaji dan memutuskan cadangan berkenaan.

Timbalan Pengerusi BN baharu
Sementara itu, Najib berkata, mesyuarat semalam sebulat suara melantik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Pengerusi BN yang baharu, menggantikan Tan sri Muhyiddin Yassin.

"Usul pelantikan ini dicadang oleh MCA dan disokong MIC dan diterima sebulat suara," katanya.

Mesyuarat itu juga melantik Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein Onn dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datik Seri Mustapha Mohamed sebagai wakil UMNO dalam Dewan tertinggi BN, manakala Datuk Seri Salleh Said Keruak dilantik Bendahari Agung BN, menggantikan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. - BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA