Pakatan Harapan Kecewa Dengan Mahathir


Pakatan Harapan yang diwakili PKR, DAP dan PAN seolah-olah kecewa dengan kenyataan Tun Dr Mahathir yang mencalonkan bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri sekiranya pembangkang menang pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Mahathir telah membuat kenyataan terbuka tersebut semasa dalam sesi soal jawab di University of London baru-baru ini mengharapkan parti baharu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diterajuinya akan menguasai kerajaan kelak padahal PPBM pun masih tidak diterima mana-mana blok pembangkang.

Namun katanya, segala tindakan begantung kepada keputusan bersama pembangkang dan PPBM untuk menamakan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri atau tidak.

“Orang yang paling mungkin jadi perdana menteri ialah Muhyiddin. Tetapi ia bergantung kepada parti, sama ada mereka akan pilih beliau sebagai presiden dan bergantung kepada gabungan yang sepatutnya jadi Perdana Menteri.” katanya

Walhal Pakatan Harapan sejak dari dahulu lagi mengharapkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pemimpin de facto sebagai pilihan utama untuk menjadi Perdana Menteri sekiranya pembangkang berjaya menewaskan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum (PRU).

Menurut sumber terdekat, sudah tentu Presiden PKR, Datuk Sri Wan Azizah Ismail membantah perkara tersebut dan menyatakan ia tidak pernah dibawa ke Majlis Presiden Pakatan Harapan untuk dibincang dan diputuskan.

Majlis Presiden Pakatan Harapan bagaimanapun dijangka mengeluarkan satu kenyataan ringkas berhubung perkara tersebut dalam masa terdekat. Segala tindakan lanjut selepas ini, akan bermula dari kenyataan tersebut.

Sementara itu, memetik laporan MalaysiaKini, Pengerusi DAP Selangor Tony Pua juga menolak sekeras-kerasnya Muhyiddin sebagai calon perdana menteri dan tetap menyokong calon berpotensi Pakatan Harapan untuk jawatan perdana menteri iaitu Anwar.

“Pendirian Pakatan Harapan kekal, Anwar (sebagai perdana menteri),” tegas Pua ketika ditanya jika pendirian itu dapat dipertahankan memandangkan Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun atas kesalahan liwat.

Isu jawatan Perdana Menteri menjadi rebutan ramai pihak dalam pembangkang termasuk dari PAS yang sebelum ini menyifatkan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai calon paling sesuai dilantik sebagai Perdana Menteri ekoran akhlaknya yang mulia.

Ironinya, Pakatan Harapan harus menerima hakikat bahawa kemenangan masih belum berpihak kepada mereka tetapi mereka sudah mula mencanangkan perihal jawatan Perdana Menteri. - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA