Orang Luar, Sekutu Politik Tak Harus Campur Tangan - Najib


BANGKOK: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberikan peringatan tegas kepada 'orang luar' dan sekutu politik mereka di Malaysia supaya tidak campur tangan dalam proses demokrasi negara.

Menyuarakan pandangannya yang lantang dalam ruangan akhbar utama bahasa Inggeris Thailand, Bangkok Post, bertajuk 'Building on Thai-Malaysian links' (membina hubungan Thai-Malaysia), beliau menekankan kepada hakikat bahawa kerajaan Malaysia adalah pilihan rakyat.

"Rakyat Thailand baru-baru ini mengundi bagi satu perlembagaan baharu. Itu hak mereka, dan orang luar tidak harus mengatakan sebaliknya."

"Begitu juga dengan kerajaan Malaysia yang dipilih rakyat dan orang luar serta sekutu politik mereka di Malaysia tidak boleh cuba menggugat proses demokrasi ini di antara pilihan raya-pilihan raya yang diadakan," katanya.

Menurut Perdana Menteri, kedua-dua negara komited untuk bekerjasama memperbaiki taraf hidup rakyat masing-masing. Walaupun dikritik oleh beberapa kerajaan asing, Thailand mengadakan referendum mengenai draf penggubalan perlembagaan itu bulan lepas, apabila lebih 61 peratus pengundi memilih untuk bersetuju dengan perlembagaan terbaharu itu.

Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Bangkok malam tadi setelah menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN dan Sidang yang berkaitan di Vientiane, Laos.

Perdana menteri mengetuai delegasi tujuh menteri dan pegawai-pegawai kanan menghadiri Perundingan Tahunan Malaysia-Thai keenam hari ini. Delegasi Thailand akan diketuai Perdana Menteri Gen Prayut Chan-o-cha. Najib berkata era kuasa lama memaksa negara membangun untuk mengikut telunjuk mereka sudah berakhir.

"Kita bangga dengan sejarah dan budaya kita dan akan mempertahankan nilai-nilai kita terhadap mereka yang cuba memaksa nilai mereka ke atas kita - seperti juga kita mempertahankan kedaulatan negara kita dalam apa jua cara," kata Najib.

Beliau turut memberi contoh ancaman baharu yang semakin meningkat dan yang tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap keamanan dan keselamatan yang dihadapi kerajaan termasuk Malaysia dan Thailand.

Kedua-dua negara jiran, katanya, tidak terkecuali daripada menghadapi ancaman dengan Thailand digegarkan tindakan pengeboman bulan lepas sementara Malaysia menghadapi serangan pertama yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas Daesh pada Jun.

Beliau berkata kerajaan kedua-dua negara memahami bukan sahaja terhadap keperluan untuk bekerjasama tetapi juga perlunya bagi kerajaan mengambil tindakan tegas dalam menangani ancaman berkenaan.

"Sebagai Perdana Menteri Malaysia, keutamaan saya ialah keselamatan dan kawalan keselamatan negara dan rakyat. Tiada maaf untuk itu. Ini bermakna saya meletakkan kepentingan negara dahulu," katanya.

Najib menegaskan bahawa keseimbangan antara kebebasan serta keselamatan sering kali rumit dan adalah jelas bahawa keseimbangan ini telah berganjak dalam beberapa tahun kebelakangan ini berikutan ancaman keganasan nihilistik.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan Malaysia akan sentiasa melindungi hak warga negaranya, termasuk melindungi, misalnya proses mahkamah yang bebas.

Perdana Menteri menarik perhatian bahawa kerajaan di seluruh dunia terpaksa menggubal undang-undang baharu bagi menangani ancaman baharu dan tidak boleh berlengah-lengah dalam usaha untuk menyelamatkan nyawa.

Meskipun begitu, katanya, masih ada segelintir pihak yang akan membahayakan masyarakat dengan menegaskan apa yang dianggap sebagai kebebasan, yang pada hakikatnya mempermudahkan pengganas, dan menuduh Malaysia serta Thailand menggunakan ancaman keganasan sebagai helah bagi memperkenalkan undang-undang yang berkaitan.

"Ini adalah pandangan bukan berdasarkan fakta dan lazimnya bermotifkan politik dengan memperkecil-kecilkan bahaya yang kita hadapi serta beberapa kekejaman pengganas yang berjaya ditumpaskan berikutan keberanian pasukan polis dan tentera Malaysia serta Thailand," katanya Najib.

Beliau berkata kebanyakan daripada pengkritik ini berasal dari kawasan pedalaman dan mempunyai sedikit sahaja pengetahuan atau pemahaman tentang keadaan keselamatan di Malaysia dan Thailand.

"Kepada mereka, saya katakan Malaysia dan Thailand adalah negara berdaulat, dengan kerajaan yang memerintah perlu dibenarkan untuk meneruskan agenda mereka bagi mensejahterakan rakyat tanpa perlu campur tangan asing," kata Najib.

Kerajaan Malaysia dan Thailand komited untuk terus mempertingkatkan kerjasama dua hala yang sedia kukuh, katanya, dan menegaskan bahawa Kuala Lumpur sedia membantu Bangkok untuk mencapai perdamaian di selatan Thailand.

"Ini adalah tanggungjawab yang besar dan sesuatu yang pada kami amat serius. Bagaimanapun kami berbesar hati untuk menjadi pemudahcara dalam proses perdamaian itu," katanya berhubung peranan Malaysia sebagai pemudahcara dalam proses perdamaian tidak rasmi antara Bangkok dan kumpulan militan selatan Thai.

Beliau berkata di bawah Strategi Pembangunan Bersama Kawasan Sempadan, kedua-dua negara berusaha untuk membawa program bina upaya dan latihan vokasional kepada kumpulan rentan di selatan Thailand, terutamanya ibu tunggal dan kalangan belia.

Malaysia, katanya, akan terus mengambil bahagian dalam tindakan pembinaan keyakinan, dan kestabilan serta kemakmuran yang terhasil daripadanya akan mengurangkan kebarangkalian kumpulan margin untuk menjadi mangsa puak ekstremis.

Najib berkata Malaysia berterima kasih kepada pihak berkuasa Thai berikutan bantuan dan pertolongan mereka dalam isu sempadan, maritim dan perkongsian risikan.

Selain isu keselamatan, perdana menteri berkata kedua-dua negara juga mempersetujui matlamat untuk meningkatkan dagangan dua hala kepada AS$30 bilion menjelang 2018 yang akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan menyara keluarga di Malaysia serta Thailand.

Najib berkata sebagai penandatanganan bersama Deklarasi Bangkok yang mengasaskan ASEAN, kedua-dua negara adalah penggerak utama di sebalik integrasi ekonomi yang lebih hebat di seluruh rantau ini yang akan membawa faedah besar kepada rakyat kedua-dua negara.

Malaysia, katanya, mahu memperkukuhkan hubungan dan perkongsian dengan Thailand supaya kedua-dua negara bukan sahaja dapat meraikan sejarah dan persahabatan yang telah lama terjalin tetapi terus melaksanakan peranan sebagai peneraju dalam ASEAN dan melampauinya.

"Stabil. Selamat. Makmur. Saya percaya ini adalah masa depan bagi negara kita dan dengan kerajaan yang sepakat dan cekal, saya yakin ini adalah masa depan yang akan kita bina bagi rakyat kita," katanya. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA