Orang Kanan Geng 77 'Tiger Snook' DItangkap


KUALA LUMPUR – Lelaki berusia 38 tahun dipercayai orang kanan kumpulan kongsi gelap ‘Double Seven’ (77) yang cukup dikenali sebagai ‘Tiger Snook’ ditahan di Taman Rashna, Klang, Selangor petang semalam.

Sumber polis berkata, suspek yang memiliki lebih enam rekod jenayah lampau dikehendaki oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi sejak 31 Ogos lalu selepas mencederakan dua orang awam.

Katanya, dalam kejadian malam Ambang Merdeka itu, suspek melakukan kesalahan merusuh selepas mabuk selain menumbuk dan menendang pelanggan di luar premis hiburan di Jalan Sultan Ismail di sini.

“Susulan kejadian itu, sepasukan polis dari Bahagian D7A Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur menjejaki suspek dan berjaya menahannya di sebuah restoran di Jalan Batu 3 Lama, Taman Rashna, Klang kira-kira 2.30 petang tadi.

“Suspek yang turut dikenali dengan gelaran ‘Tiger Snook’ dipercayai sebagai orang kanan kumpulan ‘Double Seven’ (77),” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, suspek tersebut ditahan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Assisten Komisioner Rusli Mohd. Isa ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan menyatakan suspek ditahan akan kesalahan mendatangkan kecederaan. – myMetro Online

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA