Orang Islam Bimbang Reaksi Negatif Bila Aidiladha Disambut 9/11


WASHINGTON: Penduduk Islam Amerika Syarikat bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan apabila perayaan Aidiladha dijangka disambut pada 11 September tahun ini, yang juga ulang tahun ke-15 serangan terhadap Pusat Dagangan Dunia dan Pentagon.

Ketegangan masih tinggi di Amerika, yang menyaksikan sentimen Islamofobia terus memuncak dan Aidiladha yang berkebetulan dengan tragedi 11 September mungkin membawa kepada tindak balas kepada penduduk Islam negara itu.

Ketika jutaan penduduk Islam di seluruh dunia bersiap sedia meraikan Hari Raya Korban, pemimpin komuniti memberi amaran ia mungkin disalah tafsir sebagai perayaan ulang tahun serangan itu yang meragut hampir 3,000 nyawa.

Presiden Pusat Islam Long Island, Habeeb Ahmed, memberitahu akhbar New York Times segelintir golongan akan 'salah faham' perayaan itu dan berkata, 'Tengok, orang Islam meraikan tragedi 11 September.'

Sejak serangan di Paris November lalu diikuti kes tembakan di San Bernardino pada Disember, penyelidik dan kumpulan hak sivil berkata, serangan dan ancaman terhadap umat Islam meningkat.

Di New York, yang menyaksikan seorang imam dan pembantunya ditembak mati di Queens, kemungkinan Aidiladha jatuh pada tarikh berkenaan meningkatkan kebimbangan penduduk Islam di bandar raya itu.

Pengarah hal ehwal kerajaan di Majlis Perhubungan Amerika-Islam, Robert McCaw, berkata kebimbangan itu wujud dalam minda setiap pemimpin Islam di Amerika ketika ini.

"Kami bersedih seperti orang lain. Kami mengingati hari ini bukan kerana kami umat Islam, tetapi kerana kami rakyat Amerika," kata McCaw, merujuk kepada serangan itu. - AGENSI

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA