Obama Puji Malaysia


VIENTIANE: Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama memuji usaha Malaysia mewujudkan Pusat Digital Serantau Memerangi Mesej Melalui Komunikasi dalam usaha mengekang pengaruh kumpulan militan Daesh yang kini menggunakan media digital untuk menyebarkan ideologi dan merekrut ahli baharu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penghargaan itu dinyatakan Obama dalam ulasannya selepas Malaysia selaku negara penyelaras Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) membentangkan kemajuan yang dicapai sejak Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS di Sunnylands, California Februari lalu.

Menurutnya, Malaysia menyifatkan pusat digital itu sebagai antara sumbangan negara dalam menangani isu keganasan dan dalam masa yang sama, beliau turut menekankan bahawa soal berkaitan keganasan dan per­spektif keganasan perlu ditangani dari puncanya.

“Penyelesaian kepada isu kega­nasan ini perlu dilaksanakan secara komprehensif, tidak melalui satu dimensi sahaja,’’ katanya kepada wartawan Malaysia pada hari terakhir Sidang Kemuncak ASEAN Ke-28 dan 29 serta Sidang-sidang Berkaitan di sini hari ini.

EAS merupakan antara sidang kemuncak yang diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN. Selain 10 negara anggota, EAS turut dianggotai AS, China, Australia, India, Jepun, Korea, Rusia dan New Zealand.

Dalam soal ini, kata Perdana Menteri, umat Islam seperti di Syria, Iraq dan beberapa negara lain yang kini melihat kehancuran di negara mereka dan isu Palestin yang masih tidak menampakkan jalan penyelesaian telah membakar perasaan mereka.

Najib berkata, keadaan itu mengakibatkan sebahagian daripada umat Islam terutamanya golongan muda bertindak dengan melakukan keganasan terhadap pihak yang lain.

“Tindakan itu tidaklah merupakan tindakan yang boleh diteri­ma, maknanya membunuh orang awam adalah salah di sisi agama. Kalau nak selesaikan perkara ini (keganasan), tidak boleh dengan tindakan menangkap mereka tetapi cari puncanya,’’ tegas beliau.

Najib berkata, konsep kesederhanan Malaysia dalam semua perkara juga semakin diterima apabila lima negara iaitu Austra­lia, Brunei, Kemboja, Thailand dan New Zealand turut menekankan pendekatan itu dalam sesi intervensi masing-masing semasa EAS.

Najib juga menyatakan rasa gembira apabila isu tuntutan wilayah di Laut China Selatan yang melibatkan beberapa negara ASEAN dan China memperlihatkan perkembangan yang sangat positif.

Katanya, pendirian negara yang mahukan isu itu diselesaikan secara rundingan turut dipersetujui semua negara yang terlibat seperti yang terlihat dalam EAS hari ini. – utusan

Menurutnya, semua negara terutama China telah memberikan komitmen untuk mematuhi Deklarasi Tatalaku Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DoC) dan kesediaan negara itu untuk menyelesaikan rangka kerja Kod Tatalaku (CoC) pada pertengahan tahun hadapan.

Katanya, apa yang penting semua pihak perlu memberikan komitmen dan ‘menahan diri’ sehingga tahap maksimum untuk memastikan kawasan perairan itu kekal selamat kepada pelayaran dan penerbangan.

“Ada perkembangan positif walaupun masih banyak cabaran yang menanti dalam proses ini. Hasrat untuk jadikan Laut China Selatan aman dan stabil harus menjadi pertimbangan utama semua negara,’’ katanya.

- Utusan Malaysia

1 comment:

  1. Pujian melambung setelah dapat menjajah Malaysia dengan TPPA..mari tepok tangan ramai2 ...

    ReplyDelete

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA