Obama Puji Inisiatif Malaysia Buka RDG3



VIENTIANE, Laos: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama hari ini memuji dan berterima kasih kepada Malaysia kerana inisiatif membangunkan Pusat Digital Serantau Bagi Memintas Mesej Melalui Komunikasi (RDG3) bagi mengekang propaganda Daesh.

Ucapan penghargaan itu disuarakan pada Sidang Kemuncak ASEAN-AS pagi tadi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata pujian itu diberikan kerana kesudian dan kesanggupan Malaysia untuk mengendalikan pusat berkenaan.

"Ucapan penghargaan itu disebut dalam ulasannya dan dia berterima kasih kepada Malaysia, ...itu adalah sumbangan kita (Malaysia) untuk menangkis propaganda IS (Daesh)," katanya kepada wartawan Malaysia di Pusat Konvensyen Nasional, di sini, selepas majlis perasmian penutup Sidang Kemuncak ASEAN Ke-28 dan Ke-29, hari ini.

Penubuhan pusat itu dikemukakan Najib pada Sidang Kemuncak Pemimpin mengenai Pembanterasan Daesh dan Keganasan Melampau yang dipengerusikan Obama pada September tahun lalu.

Inisiatif itu adalah usaha mengekang pengaruh Daesh yang menggunakan laman sosial untuk merekrut ahli baharu serta menyebar ideologi di serata dunia. Perdana Menteri turut mengulas pertemuan pemimpin negara anggota ASEAN dengan Obama menerusi persidangan Sidang Kemuncak ASEAN-AS.

"Dalam pertemuan itu, Malaysia menjadi negara penyelaras dan membentangkan hasil kemajuan sejak pertemuan di Sunnylands, di mana kita meningkatkan hubungan dua hala antara AS dan ASEAN di peringkat perkongsian strategik," katanya.-BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA