Obama Batal Pertemuan Dengan Presiden Filipina Selepas Dipanggil Anak Haram

Foto : FMT

VIENTIANE: Presiden Amerika Syarikat Barack Obama membatalkan pertemuan dengan Presiden Filipina Rodrigo Duterte, selepas Duterte didakwa menggunakan kata kesat ke Obama, kata jurucakap White House semalam.

Duterte, yang terkenal dengan kenyataan populis dan kempen menentang dadah sehingga membunuh beribu-ribu orang, menyifatkan Obama “anak haram ” dalam satu temuramah dengan pemberita pada Isnin, sehari sebelum mesyuarat sidang kemuncak di Laos yang disertai pemimpin Asia Selatan.

Obama mendapat tahu mengenai perkara itu ketika berada di sidang kemuncak Group of 20 di Hangzhou, China.

Susulan itu, Obama meminta pembantunya menghubungi pegawai Filipina bagi mengesahkan jika ini masa yang sesuai untuk kedua-dua pihak mengadakan perbincangan konstruktif dan produktif sekaligus menimbulkan keraguan jika mesyuarat itu akan diteruskan seperti yang dirancang.

Terbaru, Obama merancang bertemu Presiden Korea Selatan, Park Geun-hye pada Selasa, kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara Rumah Putih, Ned Prince.

Pertemuan itu pula dijangka membincangkan tindak balas kepada ujian peluru berpandu terbaru Korea Utara.

Ketibaan Obama di Vientiane merupakan lawatan pertama presiden AS itu ke Laos.

Beliau dijangka memberi ucapan mengenai kepentingan Asia Tenggara dalam dasar luar dan polisi ekonomi sepanjang 2 penggal beliau dalam jawatan yang akan berakhir pada 20 Januari.

Rumah Putih dalam satu kenyataan berkata Obama tidak merancang untuk bercakap mengenai pencabulan hak asasi manusia di Filipina jika bertemu Duterte.

Duterte menang jawatan presiden Filipina pada Mei lalu dan seperti yang dijanjikan, untuk menyekat jenayah dan menghapuskan dadah serta pengedar dadah dia menggunakan pendekatan aggresif di luar undang-undang.

Duterte dalam kenyataannya berkata adalah “kurang ajar” untuk Obama membangkitkan isu hak asasi manusia kerana ia hanya mendorongnya untuk menghentam Obama dengan kutukan “anak sundal” dalam bahasa Filipina.

“Kami akan membunuh sehingga penagih dadah terakhir dan pengedar dadah terakhir ditemui. Sehingga itu, pembunuhan akan berterusan,” katanya.

Kenyataan kesat terhadap pemimpin dunia bukan sesuatu yang baru oleh Duterte. Pada Mei lalu, beliau pernah melabel Pope Francis sebagai “anak sundal”, dan Duta Besar AS Philip Goldberg sebagai “seorang anak gay dari hasil pelacuran.”

Pada hari Isnin, Obama berkata beliau mengiktiraf kepentingan memerangi perdagangan dadah, tetapi menegaskan ia perlu dilakukan di bawah undang-undang. - Reuters

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA