Najib Tiba Di Tanah Air Selepas Lawatan Rasmi Ke Jerman


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengadakan lawatan rasmi ke Jerman selama tiga hari sejak Isnin lepas, selamat tiba di tanah air hari ini.

"Alhamdulillah, selamat tiba di Malaysia petang tadi selepas lawatan kerja ke Jerman," katanya dalam catatan akaun Facebook dan Twitternya hari ini sambil memuat naik gambarnya yang turun dari kapal terbang.

Lawatan rasminya ke Jerman adaalah atas undangan Canselor Jerman Angela Merkel, yang juga seorang ahli politik utama dalam Kesatuan Eropah, dan ini merupakan lawatan pertama Najib sebagai perdana menteri sejak memegang jawatan tersebut pada 2009.

Semasa lawatan itu, Najib telah mengadakan mesyuarat dua hala bersama-sama Markel serta mengadakan pertemuan dua hala dengan Ketua Pegawai Eksekutif XFab Rudi De Winter, Presiden Muhlbauer Josef Muhlbauer, Naib Presiden Kanan (Asia Pasifik & Afrika Selatan) BMW Group (Munich) Hendrik von Kuenheim dan Pengarah Strategik Pembangunan Perniagaan Aerodata AG Dr Manfred Haverland.

Perdana menteri turut melawat bandar pelabuhan di Mecklenburg-Vorpommern, kira-kira 200 kilometer dari Berlin dan ke Wismar.

Najib diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong dan pegawai-pegawai kanan kerajaan. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA