Najib Tiba Di Berlin Bagi Lawatan Rasmi Tiga Hari


BERLIN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini hari ini bagi lawatan rasmi selama tiga hari ke Jerman.

Lawatan atas jemputan Canselor Jerman Angela Merkel, yang juga seorang ahli politik utama dalam Kesatuan Eropah, merupakan lawatan pertama Najib sebagai Perdana Menteri.

Pesawat yang membawa Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Lapangan Terbang Tegel di sini pada 2.35 petang waktu tempatan (8.35 malam waktu Malaysia).

Mereka disambut oleh Ketua Protokol, Federal Foreign Office of Germany Ambassador Juergen Christian Mertens, Duta Malaysia ke Jerman Datuk Zulkifli Adnan dan isteri Datin Siti Hawa Othman serta Timbalan Ketua Perwakilan Rus Shazila Osman.

Delegasi Perdana Menteri termasuklah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Merkel, pemimpin-pemimpin utama perniagaan dan rakyat Malaysia yang menetap di Jerman.

Zulkifli berkata selain perdagangan dan pelaburan, kedua-dua pemimpin tersebut dijangka membincangkan isu mengenai keganasan antarabangsa, pelarian dan pertikaian Laut China Selatan.

Najib akan turut melawat bandar pelabuhan Wismar pada Rabu, di mana Genting Hong Kong Ltd telah mengambil alih tiga limbungan kapal di Wismar, Warnemunde dan Stralsund di Jerman dengan nilai RM1.04 bilion pada 2015.

Jerman merupakan pelabur terbesar Malaysia daripada Kesatuan Eropah. Terdapat sebanyak 400 syarikat Jerman di Malaysia.

Dalam enam bulan pertama tahun ini, syarikat Jerman telah melabur sebanyak RM6.44 bilion di Malaysia dan sejumlah RM35 bilion dalam tempoh dekad ini.

Malaysia merupakan rakan dagangan kedua terbesar Jerman di ASEAN dengan jumlah dagangan dua hala sebanyak 11.8 bilion euro (1 euro = RM4.60). - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA