Najib Syukur Pengebumian Jenazah Haron Din Lancar


KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa syukur kerana urusan pengebumian jenazah Mursyidul Am PAS, Datuk Dr. Haron Din berjalan lancar.

“Alhamdulillah, dimaklumkan urusan pengebumian jenazah Allahyarham Datuk Dr. Haron Din di Amerika Syarikat telah selesai dan berlangsung lancar.

“Marilah kita terus berdoa dan menyedekahkan Al-Fatihah untuk roh Allahyarham, semoga sentiasa dicucuri rahmat Allah SWT,” kata perdana menteri dalam catatan terbaharu laman Facebook dan Twitternya.

Jenazah Allahyarham Haron, 76, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Five Pillars, 1761 Laughlin Road, Livermore, California, Amerika Syarikat.

Jenazah disemadikan pada pukul 5.57 petang Jumaat waktu tempatan (8.57 pagi Sabtu waktu Malaysia) selepas selesai solat jenazah yang diimamkan anaknya, Hamdi di Masjid An Noor Santa Clara, San Francisco.

Allahyarham Haron meninggal dunia pada 10.10 pagi semalam (waktu Malaysia) di Hospital Stanford University, San Francisco akibat komplikasi jantung. – BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA