Najib Komited Jadikan Malaysia Lebih Berdaya Saing



Putrajaya : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak komited untuk terus meningkatkan lagi daya saing Malaysia ke tahap yang lebih tinggi, disokong oleh Model Baharu Ekonomi (MBE) yang diumumkan pada 2010.

"Saya komited untuk menjadikan Malaysia lebih berdaya saing dan pendirian saya ini jelas dengan dasar-dasar domestik saya," kata Najib dalam paparan terbaharu beliau di laman webnya www. najibrazak.com, malam tadi.

"Saya sentiasa menekankan bahawa sasaran Model Baru Ekonomi kita adalah untuk menjadikan Malaysia destinasi lebih berdaya saing, produktif dan mesra pelabur.

"Dan sebagai Perdana Menteri, dasar dalam dan luar negara saya, adalah bertujuan untuk memastikan pencapaian ini dan mendahulukan keperluan rakyat," katanya.

Najib, yang baru pulang ke tanah air selepas lawatan rasmi selama tiga hari ke Jerman sejak Isnin berkata, banyak perkara positif yang boleh diambil daripada Laporan Daya Saing Global (GCR) tahunan Forum Ekonomi Dunia yang dikeluarkan baru-baru ini.

Rabu lepas, Malaysia disenaraikan di kedudukan yang patut dipuji iaitu ke-25 daripada 138 ekonomi, namun ia turun daripada tangga ke-18 tahun lepas.

"Dalam dunia yang semakin kompetitif ini, kita tidak boleh cepat berpuas hati dengan apa yang telah kita dicapai. Kita perlu sentiasa komited dalam mencari punca-punca dan membuat penambahbaikan dengan segera.

"Kita harus akui yang penurunan dalam keseluruhan ranking juga disebabkan oleh faktor-faktor luaran dan domestik, malah ada yang di luar bidang kuasa kerajaan," tegas Najib.

Untuk kekal berdaya saing, beliau berkata Malaysia perlu terus berusaha menambah baik kemudahan bagi pinjaman dan melahirkan tenaga kerja.

Berkenaan dengan pendidikan, beliau berkata pelan tindakan yang dilancarkan baru-baru ini bagi pendidikan dan pendidikan tinggi jelas menekankan bahawa sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik perlu disepadukan dengan kemanusiaan, sains sosial dan keusahawan secara disiplin.

Sementara itu, Najib berpuas hati Malaysia sekali lagi diiktiraf sebagai negara paling berdaya saing dalam kalangan ekonomi sedang pesat membangun lain di Asia.

"Kita masih mendahului gergasi ekonomi seperti Korea Selatan, Iceland dan China dan ini malahan lebih bermakna lagi dalam iklim ekonomi global yang bergelora sekarang," katanya.

Najib berkata dasar kerajaan berfungsi dengan baik sejajar dengan sasaran untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 dan juga menarik dan mengekalkan pelabur.

"Kita sekarang di kedudukan ke-4 di dunia, naik daripada tangga ke-5 yang yang mana sudahpun terpuji - dalam melindungi pelabur kita di sini di Malaysia.

"Malaysia juga dipandang tinggi di mata para pelabur dengan kemudahan yang disediakan untuk menjalankan perniagaan dan kita berjaya mengekalkan kedudukan kita yang amat dicemburui di ranking ke-6.

"Dasar-dasar kita juga menggalakkan dan membantu syarikat permulaan. Pada hari ini, untuk memulakan perniagaan di Malaysia hanya mengambil masa empat hari sahaja - meningkatkan ranking kita ke kedudukan ke-15 daripada ke-24 sebelum ini," katanya.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata ranking ke-8 Malaysia dalam perbelanjaan kerajaan yang cekap mencerminkan kejayaan mengurangkan defisit bajet sejak beliau mengambil alih jawatan sebagai Perdana Menteri.

Beliau berkata inisiatif kerajaan dalam perbelanjaan cekap juga berjaya mengurangkan dengan konsisten defisit fiskal dan ranking GCR Malaysia di kedudukan ke-69 di dunia, naik daripada tangga ke-85, merupakan perakuan kepada usaha ini.

Untuk menjadikan Malaysia lebih berdaya saing, penting bagi kerajaan menyediakan persekitaran menarik kepada tenaga kerja dan juga yang membolehkan mereka berkembang maju.

"Usaha Malaysia untuk menawarkan persekitaran yang mendorong inovasi dan kreativiti terbukti membuahkan hasil.

"Kita berada di kedudukan ke-8 dan ke-11 masing-masing dalam keupayaan kita untuk mengekal dan menarik tenaga kerja," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA