Najib Diberi Sambutan Penuh Kehormatan Tentera Di Jerman


BERLIN (Jerman): Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak diberikan penghormatan penuh ketenteraan oleh gabungan pasukan pertahanan Jerman pada upacara sambutan rasmi sempena lawatannya ke negara ini di Federal Chancellery di sini pada Selasa.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, tiba di ibu negara Jerman pada Isnin untuk lawatan rasmi tiga hari atas jemputan Canselor Angela Merkel.

Ini merupakan lawatan rasmi pertama beliau ke Jerman sejak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri pada April 2009.

Semasa sambutan itu, Perdana Menteri diiringi antara lain Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong dan Duta Besar Malaysia ke Jerman Datuk Zulkifli Adnan.

Upacara 15 minit itu disusuli mesyuarat dua hala dengan Merkel, yang antara lain bagi membincangkan isu seperti perdagangan dan pelaburan dan juga berhubung isu keganasan antarabangsa, masalah pelarian Syria dan Laut China Selatan.

Adalah difahamkan, Merkel juga ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM), yang merupakan inisiatif bagi menggalakkan kesederhanaan dan menolak segala bentuk ekstremisme.

GMM yang merupakan idea Najib, telah mendapat sokongan dan pengiktirafan daripada para pemimpin dunia dan juga pertubuhan antara kerajaan di peringkat serantau dan antarabangsa.

Jerman, dengan jumlah penduduk 80.6 juta merupakan ekonomi keempat terbesar dunia. Negara ini juga merupakan pelabur terbesar di Malaysia dari negara-negara Kesatuan Eropah.

Firma Jerman terkenal, yang sudahpun mempunyai kedudukan yang kukuh sejak beberapa dekad termasuk Volkswagen, BMW, BASF, Osram, Mercedes, Audi, Deutsche Bank, Siemens AG, Bosch dan Infineon.- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA