Najib Buat Lawatan Rasmi Ke Jerman Mulai Esok


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mengadakan lawatan rasmi ke Jerman bermula esok hingga Rabu dan dijangka mengadakan pertemuan dengan Canselor Jerman Dr Angela Merkel.

Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini menyatakan, pada pertemuan itu kedua-dua pemimpin akan membincangkan isu-isu dua hala, serantau dan pelbagai hala.

"Di samping itu, lawatan ini juga dijangka meningkatkan pembinaan keupayaan kedua-dua negara, terutama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pendidikan dan latihan vokasional, pertanian, sains dan teknologi, dan pembangunan infrastruktur," kata kenyataan itu.

Selain pertemuan dua hala, perdana menteri juga akan mengadakan sesi dialog dengan pemimpin-pemimpin utama sektor perniagaan di Jerman serta bertemu dengan komuniti dan pelajar-pelajar Malaysia di negara itu.

Dalam lawatan itu, Najib akan diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Perusahaan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong serta pegawai-pegawai kanan kerajaan. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA