Naib Presiden PKR Letak Jawatan, Sertai Parti Shafie Apdal



KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Darell Leiking hari ini mengumumkan meletak jawatan dan keluar PKR.

"Peletakan jawatan saya sebagai naib presiden PKR dan keluar daripada PKR ini berkuat kuasa serta merta," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Katanya beliau telah menemui Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi menyatakan hasratnya itu dan menurutnya presiden menghormati keputusannya.

Darell yang juga anggota Parlimen Penampang berkata beliau bakal menyertai parti tempatan Sabah yang bakal diterajui bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Mengenai jawatan yang ditawarkan kepadanya dalam parti yang akan disertainya, Darell berkata beliau ada berbincang mengenai jawatan dengan Mohd Shafie namun belum membuat keputusan sama ada menerimanya atau tidak.

Mohd Shafie yang bertindak keluar UMNO pada 4 Julai lepas, hari ini berkata beliau berhasrat mengambil alih sebuah parti politik di Sabah untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA