Musnah Jadi Makanan Gajah

Foto Harian Metro

BALING: Lebih 500 tanaman penduduk di Kampung Seri Ketengga, Siong, di sini, rosak diserang sekumpulan gajah, semalam.

Penduduk mendakwa pokok kelapa sawit, getah, pisang dan dokong yang sudah mengeluarkan hasil, musnah dirosakkan gajah liar itu.

Mohd Rosni Md Ali, 49, berkata lebih 200 pokok kelapa sawit yang baru ditanam dimusnahkan kumpulan gajah liar.

Menurutnya, awal bulan lalu, seekor gajah betina yang tersesat memusnahkan tanaman penduduk tetapi tidka banyak.



“Namun kali ini banyak tanaman musnah kerana gajah memasuki kebun penduduk secara berkumpulan.

"Banyak pokok dokong yang sudah berbuah ditumbangkan," katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, gajah itu masuk kali kedua malam kelmarin tetapi mula mengganas malam tadi, menyebabkan penduduk tidak berani ke kebun, termasuk penoreh getah.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kedah Mohd Hafid Rohani berkata, pihaknya sudah menerima aduan berhubung kejadian dan sedang menyiasat.

“Kita juga meminta bantuan kerajaan negeri dari segi kos untuk menangkap dan memindahkan gajah liar itu

“Kos pengangkutan dan kos lain amat tinggi menyebabkan kami memerlukan bantuan kerajaan negeri bagi menangkap dan memindahkan gajah,” katanya.-HM

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA