Mukhriz Cakap Tak Serupa Bikin – Hishamuddin

KUCHING: Cadangan bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir agar tempoh perkhidmatan perdana menteri dihadkan kepada dua penggal sahaja disifatkan sebagai ‘cakap tidak serupa bikin’.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata, sepatutnya kita perlu tanya balik kepada Mukhriz mengapa baru sekarang beliau membuat cadangan itu.

Menurutnya, rakyat sedang melihat apa yang sedang kita katakan untuk menilai samada kita ikhlas atau tidak, kerana matlamat tidak menghalalkan cara.

“Mengapa cadangan itu tidak dibuat semasa ayahnya (Tun Dr Mahathir) jadi Perdana Menteri, kenapa ayahnya memerintah sehingga 22 tahun.

“Kita perlu konsisten dengan setiap apa yang dilakukan, jangan cakap tidak serupa bikin,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita pada Majlis Ramah Mesra bersama warga Bintara ATM di Pangkalan Tentera Udara di sini hari ini.

Mukhriz pada majlis Malaysia Bersatu bersama Mukhriz di Shah Alam malam tadi mencadangkan supaya tempoh perkhidmatan perdana menteri dihadkan kepada dua penggal sahaja, sekiranya kerajaan baru berjaya ditubuhkan selepas pilihan raya umum ke-14.

ADUN Ayer Hitam itu berkata, langkah tersebut bagi mengelak krisis pentadbiran seperti sekarang berulang.

Selain itu beliau turut mencadangkan tempoh had bagi setiap pemegang jawatan dalam parti juga perlu dilaksanakan bagi memberi laluan kepada muka baru. – Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA