Mudahkan Urusan Kahwin Pada Usia Muda


FENOMENA hamil di luar nikah dalam kalangan remaja bukanlah perkara baru yang berlaku di negara ini.

Masalah ini boleh dikatakan sering berlaku namun ia tidak didedahkan di dada-dada akhbar bagi menjaga aib si mangsa.

Kesan daripada masalah ini juga menjadi antara penyumbang kepada berlakunya kes pembuangan bayi.

Pensyarah di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Zaid Ahmad berkata, banyak faktor dikenal pasti yang mendorong kepada berlakunya masalah hamil luar nikah.

Menurut beliau, antara salah satu faktornya adalah pergaulan bebas tanpa batasan antara lelaki dan perempuan terutamanya dalam kalangan remaja.

Terlanjur

“Pada zaman yang serba moden ini, dengan hanya mengakses laman sosial golongan remaja di negara ini sudah boleh mengenali antara satu sama lain sekali gus membolehkan mereka untuk bergaul bebas antara satu sama lain.

“Bagi golongan remaja yang kurang mendapat didikan dan perhatian serta pemantauan daripada ibu bapa, ia boleh menyebabkan mereka mudah terjebak dalam masalah ini.

“Ada sesetengah remaja ini walaupun pertama kali berjumpa, sudah terlanjur dengan pasangan yang baharu dikenali,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambah beliau, masalah hamil luar nikah ini juga menjadi penyebab kepada masalah pembuangan bayi.

Kebanyakan mereka yang hamil luar nikah tidak tahu bagaimana untuk mengatasinya dan malu untuk memberitahu keluarga lalu mengambil keputusan membuang bayi yang dilahirkan.

Sementara itu Zaid berkata, simptom masyarakat yang menyukarkan proses perkahwinan juga boleh menyumbang kepada masalah tersebut.

Menurut beliau, pelajarnya sendiri ada menyatakan, mereka mempunyai niat berkahwin pada usia muda namun terpaksa menunggu kerana beberapa faktor seperti masih belum bekerja dan kekurangan wang untuk mendirikan rumah tangga.

“Bila mereka sendiri merasakan perkahwinan itu sesuatu yang sukar dan dalam masa yang sama mempunyai masa yang banyak bersama pasangan, ia boleh menyebabkan macam-macam perkara berlaku.

“Masyarakat harus dididik untuk menjadikan urusan perkahwinan ini sebagai sesuatu yang mudah dan memberi galakkan serta membimbing kepada mereka yang ingin berkahwin pada usia muda.

“Melalui cara ini, ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan berlakunya masalah ini sekali gus membantu golongan remaja berhenti daripada terus melakukan dosa,” jelasnya.

Alternatif

Kosmo! baru-baru ini melaporkan, kajian yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan pada tahun lalu mendapati, seramai 3,980 remaja berusia antara 10 hingga 19 tahun hamil luar nikah.

Jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada 13,831 remaja hamil yang direkodkan dalam tempoh tersebut dengan Sabah mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 3,084 kes, Sarawak (2,910), Selangor (1,461), Johor (1,319) dan Pahang (940).

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dr. Rose Lena Lazemi berkata, menerusi pendedahan kajian itu, pihak kementerian akan memberi tumpuan serta usaha untuk menyelesaikan masalah tersebut.

“Kita akan memberi tumpuan dan kajian dalam mencari alternatif yang sesuai bagi menangani masalah sosial itu,” katanya ketika berucap pada Wacana Penyelidikan Kajian Faktor Risiko dan Pelindung Terhadap Kesihatan Seksual serta Reproduktif Remaja di Sabah dan Sarawak anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara di Putrajaya baru-baru ini.

Rose Lena berkata, kes rogol dalam kalangan remaja turut meningkat apabila pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan, sebanyak 12,473 kes dicatatkan pada tahun 2011 hingga Jun 2015 dengan 11,667 mangsa ialah remaja berusia 13 hingga 18 tahun.

“Kes kehamilan luar nikah merupakan punca utama berlaku kes pembuangan bayi. Laporan PDRM menunjukkan jumlah pembuangan bayi di Malaysia dari tahun 2011 hingga Jun 201 adalah sebanyak 435 kes,” jelasnya. -Kosmo


No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA