MILO Taja Sukan SEA 2017 RM7 Juta


PUTRAJAYA: Jenama minuman malta coklat kesayangan rakyat Malaysia, MILO tampil memberi sokongan penuh kepada penganjuran Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 atau Kuala Lumpur 2017 apabila komited menyumbang lebih RM7 juta dalam pelbagai bentuk medium penajaan.

MILO yang juga penaja perak bagi Kuala Lumpur 2017 berikrar untuk memberi sokongan penuh bagi memeriahkan penganjuran temasya itu dengan menjalinkan kerjasama bersama Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Malaysia (MASOC).

Majlis menandatangani perjanjian penajaan itu semalam turut disaksikan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif MASOC Datuk Seri Zolkples Embong dengan MILO diwakili Pengurus Eksekutif Perniagaan, Unit Perniagaan MILO, Nestle (M) Bhd Philomena Tan dan Kementerian Belia dan Sukan diwakili Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Lokman Hakim Ali.

Khairy berkata, melalui penajaan itu, MILO akan menyumbang RM700,000 dalam bentuk wang tunai; RM500,000 dalam bentuk produk dan lebih RM6 juta dalam bentuk pemasaran sukan dan program.

Menurutnya, beliau difahamkan, MILO akan masuk ke 7,000 buah sekolah bagi menggerakkan kempen Kuala Lumpur 2017 dan ia akan membabitkan penyertaan seramai 2.6 juta murid dan pelajar sekolah.

“MILO juga memberi jaminan untuk meletakkan logo Kuala Lumpur 2017 pada produk mereka selain menganjurkan beberapa aktiviti sukan sempena hari sukan sekolah di sekolah yang terpilih,” katanya pada sidang media di sini semalam. - metro

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA