MH17: Penyiasat Belanda Dedah Dua Nama


THE HAGUE: Pihak pendakwa raya Belanda menyiarkan nama dua individu yang mempunyai kaitan dengan tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 selepas laporan siasatan mendapati pesawat itu ditembak jatuh menggunakan sistem pertahanan yang dibawa dari Rusia.

Berdasarkan kenyataan yang disiarkan oleh laman web polis Belanda pada Rabu, dua individu itu merupakan lelaki yang boleh berbahasa Rusia, digelar sebagai Orion dan Delfin tetapi nama sebenarnya adalah Andrey Ivanovich dan Nikolay Fiodorovich.

Kenyataan itu sekali gus menjadi pendedahan pertama melibatkan nama individu yang mempunyai kaitan dengan nahas pada 17 Julai 2014.

Siasatan yang dijalankan oleh pihak Belanda dengan kerjasama Malaysia, Australia, Belgium dan Ukraine turut menyiarkan rakaman perbualan telefon dalam bahasa Rusia oleh dua lelaki itu.

Bagaimanapun kenyataan tersebut menegaskan, tiada bukti yang menunjukkan perbualan itu mempunyai kaitan secara langsung dengan insiden MH17.

Namun pihak polis meminta orang ramai yang mengecam suara tersebut atau memiliki maklumat berhubung dua lelaki terbabit atau kaitan mereka dengan sistem pertahanan BUK, supaya menghubungi pihak berkuasa dengan segera.

"Jika anda bimbang dengan keselamatan diri, pelbagai langkah perlindungan akan diberikan," jelas kenyataan berkenaan.

Terjemahan perbualan itu menunjukkan dua lelaki tersebut berbincang tentang konvoi yang bergerak ke arah sebuah lapangan terbang dekat Sabivka berhampiran Luhansk di timur Ukraine.

Pesawat MH17 ditembak jatuh oleh sistem pertahanan BUK di timur Ukraine ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, menyebabkan kesemua 298 penumpang dan anak kapal terbunuh. - AFP

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA