MH17: Masyarakat Antarabangsa Harus Tingkat Tekanan Ke Atas Rusia - Pakar


KUALA LUMPUR: Masyarakat antarabangsa perlu meningkatkan tekanan ke atas Rusia untuk memberi segala bantuan yang perlu untuk membolehkan keadilan terlaksana berhubung insiden penembakan pesawat Malaysia Airlines MH17, kata seorang pakar.

Timbalan Pengarah dan Felo Kanan, Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Sufian Jusoh berkata masyarakat antarabangsa juga perlu memberi tekanan kepada Rusia untuk bersetuju bagi penubuhan tribunal untuk melaksanakan keadilan terhadap mangsa-mangsa insiden.

"Presiden Rusia Vladimir Putin perlu bekerjasama dengan membantu waris mangsa mendapatkan keadilan terhadap kematian ahli keluarga, sanak saudara dan rakan-rakan yang tidak bersalah," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Sufian berkata berdasarkan pendedahan terbaru mengenai siasatan MH17, waris mangsa insiden penembakan MH17 boleh membawa kes sivil terhadap orang yang mereka fikir bertanggungjawab terhadap insiden itu di bawah undang-undang tort.

"Dalam kes ini, mereka boleh membawa kes terhadap mana-mana pihak berikut iaitu pengeluar peluru berpandu BUK dari Rusia, penembak, komander dan juga terhadap kerajaan Rusia atau Ukraine sekalipun," kata Sufian.

Oleh itu, Sufian mencadangkan bahawa mahkamah Malaysia harus dilantik sebagai forum paling sesuai untuk apa-apa tindakan undang-undang kerana pesawat malang itu ialah milik Malaysia dan undang-undang Malaysia boleh dijadikan undang-undang terpakai.

"Bagaimanapun, ini bergantung sama ada Belanda bersetuju dengan perkara ini kerana kebanyakan mangsa ialah warga Belanda, dan sama ada Rusia bersetuju untuk menyerahkan pelakunya yang mungkin puak pemisah etnik Rusia yang berpangkalan di Ukraine," katanya.

Pada Rabu, Pasukan Penyiasat Bersama diketuai Belanda (JIT) merumuskan dalam laporan interim bahawa MH17 telah ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu BUK 9M38 yang dibawa dari Rusia ke Ukraine.

Ketua Pasukan Detektif Kebangsaan Belanda, Wilbert Paulissen berkata JIT mendapati bahaswa sistem pertahanan peluru berpandu BUK kemudian diangkut balik ke Rusia selepas pesawat berkenaan ditembak jatuh, mengorbankan semua penumpang dan anak kapal.

MH17 yang membawa 298 penumpang dan krew ditembak jatuh di ruang udara timur Ukraine pada 17 Julai, 2014 ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA