Messi ledak hatrik ketika Barca malukan Celtic


BARCELONA: Lionel Messi cemerlang meledak hatrik, manakala Neymar menghasilkan empat umpanan ke arah gol ketika Barcelona memulakan kempen Liga Juara-Juara dengan bergaya selepas membelasah Celtic 7-0, awal pagi tadi.

Messi dan Neymar yang kembali digandingkan bersama Luis Suarez dalam kesebelasan utama buat pertama kali musim ini tidak memerlukan masa yang lama untuk membuktikan ketajaman, sekali gus meletakkan nama selaku penjaring gol.

Dua gol daripada Messi pada babak pertama perlawanan bermula di minit ketiga disusuli kegagalan Moussa Dembele memberikan Barca selesa mendahului 2-0 pada separuh masa permainan.

Juara Scotland itu terus dihukum juara Sepanyol pada babak kedua dengan lima lagi jaringan menerusi Neymar, Messi, Andres Iniesta dan dua gol daripada Suarez.

"Sudah lama kami tidak dapat menikmati kegembiraan berada di atas padang bersama-sama dan hari ini kami lakukannya," kata Suarez.

Pengurus Celtic, Brendan Rodgers, yang juga bekas pengurus Liverpool, menggelar bekas pemainnya, Suarez sebagai penyerang terbaik di dunia sebelum perlawanan berlangsung.

Walaupun dibelasah, beliau berkata, tiada sebab untuk berasa malu kerana pasukan lawan itu sememangnya pasukan yang lebih bagus.

"Mereka adalah pemain yang istimewa. Mereka mempunyai tiga pemain terbaik di bahagian serangan, yang mampu menundukkan sebanyak mana pemain yang mereka mahu.

"Kami meletakkan lima pemain di bahagian pertahanan, namun kepantasan pergerakan dan gabungan sentuhan mereka.. mereka adalah pemain kelas dunia dan mereka menunjukkannya hari ini," kata Rodgers.

Begitupun, Barca berkemungkinan dikenakan hukuman oleh Kesatuan Persekutuan Bola Sepak Eropah (UEFA) selepas ribuan bendera pemisah Catalan berkibar di Nou Camp pada perlawanan itu.

Gergasi Sepanyol itu sudah pun didenda 150,000 euro (RM694,800) oleh UEFA musim lalu atas kesalahan sama. - AFP

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA