Menyelusuri Jalan Pesisir Sarawak

Pengkalan Feri Kota Samarahan
Pengalaman menyelusuri jalan pesisir Sarawak adalah sesuatu yang baharu dan akan menjadi pengalaman yang cukup berharga dalam lipatan memori.

Dengan menaiki kereta memasuki Kota Samarahan sehingga ke pangkalan feri yang begitu sesak.

Namun terdapat alternatif jalan lain selain daripada mengguna feri.

Setelah feri sampai seberang ke kawasan pentadbiran Asajaya, kita akan melewati kampung-kampung yang sebelum ini tidak pernah kedengaran nama-nama kampung tersebut seperti Kampung Tambay, Telok Sabang, Tambirat, Sebandi Ulu, Moyan, Serpan dan Asajaya.

Yang menariknya terdapat ramai masyarakat Melayu pesisir memupuk minat berniaga dan antara produk yang diniagakan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, ikan segar dari laut dan berbagai produk kampung.

Jambatan Batang Sadong
Suasana seperti itu akan terdapat sehingga kita menyelusuri jalan ke Sadong Jaya dan terus ke pengkalan feri Sungai Buloh.

Terapat dua buah feri yang menjadi pengangkutan untuk menyeberangi Batang Sadong.

Dari situ kita akan melihat permandangan laut China Selatan yang terbentang luas.

Sebelah hulu pula sebuah jambatan sedang dalam proses akhir untuk di siapkan dan merupakan jambatan yang terpanjang di Sarawak iaitu Jambatan Batang Sadong.

Setibanya di tanah seberang iaitu kawasan Simunjan, kita akan melihat ramai peniaga bumiputera berniaga di pinggir jalan.

Sepanjang perjalanan kita akan melalui Kampung Ladong, Sebangan, Tebelu sehingga ke Sebuyau dan akan berhenti di Pangkalan Feri Triso. Dengan menaiki feri Triso yang mengambil setengah jam perjalanan menyeberangi Batang Lupar, kita akan melihat sebuah pulau yang diberi nama Pulau Triso Laut oleh masyarakat tempatan.

Feri Triso atau feri Batang Lupar

Pulau Triso Laut dan Laut China Selatan

Sampai ke tanah Triso, kita akan menyusuri jalan dan melalui kampung Melayu seperti Triso Laut, Kampung Pinang, Meludam dan Beladin.

Namun permukaan jalan kurang memuaskan kerana struktur jalan yang tidak rata.

Kemungkinan tanah kawasan tersebut adalah tanah gambut atau paya menyebabkan permukaan menjadi tidak rata.

Apa yang pasti penduduk kawasan tersebut dahulunya hanya bekerja sebagai nelayan, tetapi kini mereka sudah menceburi bidang perladangan seperti kelapa sawit.

Sepanjang perjalanan kita akan melihat ladang kelapa sawit yang begitu luas sehingga sampai ke pengkalan feri Beladin.

Feri Beladin

Setelah mengharungi 20 minit menyeberangi Sungai Saribas, kita akan sampai ke pengkalan feri Pusa dan meneruskan perjalanan ke Pusa.

Keadaan jalan ke Pusa amat baik namun masih terdapat sedikit jalan yang tidak rata dan pemandu kenderaan harus berhati-hati.

Dari Pusa kita akan teruskan perjalanan ke Sarikei, Sibu, Bintulu dan Miri tanpa menaiki feri lagi.

Melalui pandangan penulis, kawasan pesisir harus dibangunkan memandangkan terdapat permandangan yang menarik untuk dijadikan produk pelancongan serta jalanraya perlu dinaik taraf agar perjalanan lancar dan selamat.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA